Purata gaji rakyat meningkat 4.1 peratus kepada RM3,803 pada 2025
KUALA LUMPUR – Purata gaji dan upah bulanan warganegara Malaysia meningkat 4.1 peratus kepada RM3,803 pada 2025 berbanding RM3,652 pada tahun sebelumnya, mencerminkan perkembangan positif dalam pasaran buruh negara.
Laporan Survei Gaji & Upah Malaysia 2025 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) turut menunjukkan penengah gaji dan upah bulanan turut mencatat pertumbuhan lebih tinggi sebanyak 5.3 peratus kepada RM2,940 berbanding RM2,793 pada 2024.
Menurut DOSM, peningkatan itu berlaku seiring pertambahan bilangan penerima gaji dan upah bulanan kepada 12.01 juta orang pada 2025, berbanding 11.96 juta orang pada tahun sebelumnya.
Daripada jumlah itu, pekerja bergaji terdiri daripada 10.38 juta warganegara Malaysia, bersamaan 86.4 peratus daripada keseluruhan pekerja bergaji sepenuh masa.
DOSM berkata, sektor perkhidmatan menjadi penyumbang terbesar kepada peningkatan bilangan penerima upah, dengan sektor itu merangkumi 71.5 peratus daripada keseluruhan penerima dan meningkat 1.8 peratus kepada 7.42 juta orang.
Dari segi sektor ekonomi pula, sektor perlombongan dan pengkuarian merekodkan purata gaji dan upah bulanan tertinggi pada RM6,175, diikuti sektor perkhidmatan RM3,993, pembuatan RM3,357, pembinaan RM3,188 dan pertanian RM2,575.
Berdasarkan kategori kemahiran, pekerja mahir yang merangkumi 36.6 peratus daripada keseluruhan penerima gaji mencatatkan purata gaji dan upah bulanan tertinggi sebanyak RM5,799, meningkat daripada RM5,582 pada 2024.
“Ini diikuti oleh kategori separuh mahir yang mencatatkan kadar pertumbuhan 4.2 peratus kepada RM2,714 dengan sumbangan 55.6 peratus.
“Begitu juga, kategori berkemahiran rendah naik 2.6 peratus kepada RM2,184 berbanding RM2,128 pada tahun sebelumnya,” menurut DOSM dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, pekerja lelaki membentuk kumpulan terbesar dalam kalangan penerima gaji warganegara Malaysia, iaitu 6.08 juta orang atau 58.6 peratus daripada keseluruhan pekerja bergaji.
Purata gaji dan upah bulanan lelaki meningkat 4.3 peratus kepada RM3,921, manakala pekerja perempuan mencatat pertumbuhan 3.9 peratus kepada RM3,635.
Dari segi taburan negeri, Selangor mencatatkan sumbangan penerima gaji tertinggi, iaitu 25.6 peratus daripada jumlah keseluruhan pekerja bergaji warganegara Malaysia, diikuti Johor sebanyak 13.6 peratus dan Sarawak 7.6 peratus.
Bagaimanapun, Putrajaya merekodkan purata gaji dan upah bulanan tertinggi sebanyak RM5,417, diikuti Kuala Lumpur RM4,955 dan Selangor RM4,258.
“Lima negeri menunjukkan nilai purata gaji dan upah bulanan melebihi paras nasional iaitu Putrajaya, Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang (RM3,912) dan Labuan (RM3,887),” menurut DOSM.
Laporan Survei Gaji & Upah Malaysia 2025 itu menyediakan statistik berkaitan gaji dan upah bagi pekerja sepenuh masa dalam sektor awam dan swasta.
Menurut DOSM, pertumbuhan positif yang dicatatkan bagi purata dan penengah gaji serta upah bulanan pada 2025 menunjukkan perkembangan lebih baik dalam pasaran buruh dan pendapatan pekerja.
Bagaimanapun, usaha meningkatkan produktiviti, memperkukuh kemahiran serta mewujudkan lebih banyak pekerjaan bernilai tinggi perlu diteruskan bagi menyokong pertumbuhan gaji benar yang mampan dan meningkatkan kesejahteraan pekerja.
“Seiring dengan aspirasi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), pembangunan tenaga buruh yang berdaya saing dan produktif serta pengukuhan reformasi pasaran buruh adalah penting bagi menyokong pertumbuhan gaji yang mampan dan inklusif,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








