Banci Pertanian 2024: 1.3 juta kediaman pengusaha, pemilik pertanian disasar terlibat
SERDANG – Sebanyak 1.3 juta tempat kediaman pengusaha dan pemilik pertanian disasarkan akan terlibat dalam Banci Pertanian 2024.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, banci tersebut juga menyasarkan penglibatan lebih 20,000 pertubuhan berdaftar, institusi, koperasi dan persatuan.
Katanya, banci kali ini meliputi empat subsektor pertanian iaitu tanaman; ternakan; perikanan dan akuakultur serta perhutanan dan pembalakan yang melibatkan isi rumah pertanian dan syarikat perniagaan.
“Saya dimaklumkan soal selidik banci kali ini akan meliputi pelbagai topik yang dekat dengan jiwa pengusaha pertanian seperti profil petani, maklumat pengeluaran, kos input pertanian antaranya baja, benih dan racun, akses pemasaran, pembiayaan, guna tenaga dan amalan pertanian.
“Saya menyeru semua pengusaha pertanian tidak kira pengusaha kecil, sederhana dan besar untuk meluangkan masa dengan memberi kerjasama melengkapkan maklumat dengan tepat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya ketika merasmikan Majlis Peluncuran Banci Pertanian 2024 yang diadakan di Malaysia Agro Exposition Park (MAEPS), di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan Banci Pertanian 2024 akan membantu dalam penghasilan garis dasar (baseline) baharu yang akan menyediakan statistik bertepatan masa dan boleh diharap (reliable) bagi perancangan sektor pertanian negara.
Jelas beliau, banci itu akan tertumpu pada empat dimensi keterjaminan makanan iaitu ketersediaan, akses, penggunaan serta kestabilan dan kemampanan sebagaimana disarankan Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO).
“Kesinambungan banci ini akan diteruskan dengan pelaksanaan survei atau kajian pertanian secara berkala untuk mengukur keterjaminan makanan negara, kesejahteraan petani dan prestasi sektor pertanian seiring dengan perubahan semasa,” ujarnya.
Sementara itu, seramai 5,821 orang pembanci telah dilantik bersama-sama pegawai Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dan agensi di negeri-negeri bagi menjalankan temuramah secara bersemuka.
Sehubungan itu, beliau turut mengumumkan Hari Banci Pertanian 2024 akan diadakan bermula 7 Julai sehingga 10 Oktober ini.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








