UMNO Sabah puji keputusan kerajaan tidak rayu kes 40 peratus hasil negeri
KUALA LUMPUR – Keputusan Kerajaan Persekutuan untuk tidak mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berhubung pemberian khas 40 peratus hasil diperoleh daripada Sabah disifatkan sebagai langkah tepat dan wajar dipuji.
Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, keputusan itu memberi kelegaan besar kepada rakyat Sabah selepas lebih enam dekad isu berkenaan menjadi polemik antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah.
“Keputusan ini memberi satu kelegaan besar kepada rakyat Sabah. Pada pandangan saya, sudah tiba masanya kita menoktahkan perdebatan lebih enam dekad mengenai isu 40 peratus ini.
“Selama ini isu ini memecahbelahkan negara dan menimbulkan sentimen negatif terhadap Kerajaan Persekutuan.
“Perkara ini mesti dihentikan kerana ia tidak baik untuk negara dan perpaduan rakyat,” katanya dalam satu hantaran di Facebook semalam.
Abdul Rahman berkata, sudah tiba masanya semua pihak mengiktiraf bahawa isu 40 peratus hasil Sabah adalah sebahagian daripada Perlembagaan Persekutuan dan perlu diselesaikan secara adil berlandaskan semangat federalisme.
Terdahulu, Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam kenyataan memaklumkan, keputusan untuk tidak membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 17 Oktober lalu dicapai melalui Mesyuarat Khas Jemaah Menteri yang diadakan semalam.
AGC menjelaskan, susulan keputusan itu, Kerajaan Persekutuan akan segera memulakan proses rundingan bersama Kerajaan Negeri Sabah bagi memastikan pelaksanaan keputusan tersebut berjalan lancar.
Mengulas lanjut, Abdul Rahman berkata, perbezaan tafsiran antara Putrajaya dan Kota Kinabalu mengenai maksud sebenar 40 peratus hasil Sabah menjadi punca utama kepada kekeliruan dan perdebatan berpanjangan.
“Rakyat melihat seolah-olah Putrajaya dan Kota Kinabalu bercakap mengenai perkara yang berbeza.
“Tafsiran kedua-dua pihak berbeza begitu jauh sehingga nilai sebenar 40 peratus itu tidak pernah mencapai titik persetujuan,” katanya lagi.
Beliau turut menyarankan agar kerajaan menentukan jumlah sebenar atau kuantum hasil berkenaan secara terbuka bagi menjamin ketelusan serta mengelakkan pertikaian pada masa depan.
Selain itu, katanya, mekanisme pembayaran juga perlu diperincikan sama ada dilakukan secara tunai, pertukaran tanah, pemindahan aset atau bentuk pampasan lain yang setara nilainya.
Abdul Rahman turut menekankan keperluan menetapkan garis masa pembayaran yang jelas, termasuk bagaimana tunggakan terdahulu akan diselesaikan sama ada secara berperingkat atau sekaligus.
“Seperti kata pepatah, ‘Masalah terletak pada perinciannya’. Cabaran sebenar adalah pada pelaksanaan yang teliti dan adil,” katanya lagi.
Beliau turut berkata, UMNO Sabah dan Barisan Nasional (BN) Sabah komited menamatkan polemik berdekad-dekad ini demi kepentingan rakyat serta perpaduan negara.
“Kerajaan Persekutuan harus melihat perkara ini sebagai peluang untuk menutup satu bab lama yang sekian lama menjejaskan perpaduan nasional kita,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








