BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Shamsul Iskandar mohon lima kes rasuah dirujuk ke Mahkamah Tinggi

KUALA LUMPUR – Bekas setiausaha politik kanan kepada perdana menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Akin memohon untuk memindahkan lima pertuduhan rasuahnya dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Peguamnya, Amer Hamzah Arshad, memfailkan notis tersebut pada 4 Feb, dengan menyatakan persoalan undang-undang baharu dan isu kompleks yang menurutnya wajar ditentukan oleh Mahkamah Tinggi dan akhirnya Mahkamah Persekutuan.

“Terdapat persoalan dan isu undang-undang di mana kesukaran undang-undang luar biasa akan timbul, termasuk perkara melibatkan keperlembagaan peruntukan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

“Persoalan ini hanya boleh ditentukan oleh Mahkamah Tinggi dan seterusnya oleh Mahkamah Persekutuan,” kata notis itu seperti dilaporkan FMT.

Dalam afidavit sokongan, Shamsul, 51, berkata, perbicaraannya akan melibatkan isu berkaitan kuasa dan prosedur yang mengawal kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah.

Beliau berkata kes itu akan melibatkan ramai saksi, keterangan dokumen yang meluas, dan prosedur undang-undang yang kompleks, menjadikan kepakaran seorang hakim Mahkamah Tinggi penting bagi memastikan prosiding berjalan lancar serta menjimatkan masa dan kos.

Shamsul menambah bahawa jika perbicaraan dijalankan di Mahkamah Tinggi, pihak-pihak akan berpeluang untuk akhirnya mendapatkan penentuan muktamad daripada Mahkamah Persekutuan, khususnya mengenai persoalan keperlembagaan peruntukan di bawah Akta SPRM dan isu undang-undang berkaitan yang dibangkitkan.

Semasa pengurusan kes hari ini, seorang penolong pendaftar menetapkan 9 April untuk pendengaran permohonan pemindahan itu di Mahkamah Tinggi.

Pada 4 Dis tahun lalu, bekas Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu didakwa di mahkamah sesyen di sini atas pertuduhan menerima wang tunai RM100,000 daripada ahli perniagaan Albert Tei sebagai dorongan untuk membantu syarikat Tei mendapatkan kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah.

Beliau juga dituduh menerima RM40,000 secara tunai bagi tujuan sama, serta perabot dan peralatan elektrik masing-masing bernilai RM14,580 dan RM22,249.

Keesokan harinya, beliau didakwa di mahkamah sesyen Shah Alam atas pertuduhan menerima RM64,924 dalam bentuk bayaran sewa daripada Tei, yang didakwa sebagai dorongan untuk membantu firma yang mempunyai kepentingan Tei mendapatkan kelulusan sama.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara 24 Nov 2023 dan 5 Mac 2024.

Kes di Shah Alam kemudiannya dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk dibicarakan bersama pertuduhan terdahulu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button