JENAYAH & MAHKAMAHLUAR NEGARA

Kes MH17 : Mahkamah Agung AS tolak rayuan bank Rusia

WASHINGTON – Mahkamah Agung Amerika Syarikat (AS) semalam menolak rayuan bank terbesar Rusia, Sberbank, yang cuba mengelak daripada disaman di bawah undang-undang antikeganasan negara itu berhubung dakwaan penglibatan tidak langsungnya dalam tragedi pesawat Malaysia Airlines MH17 yang ditembak jatuh di Ukraine pada 2014.

Keputusan itu mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan Litar Kedua AS di New York yang sebelum ini membenarkan keluarga mangsa warga Amerika, Quinn Schansman, meneruskan saman terhadap bank berkenaan.

Keluarga Schansman memfailkan saman di bawah Akta Antikeganasan (Anti-Terrorism Act) yang memberi hak kepada rakyat AS untuk menuntut ganti rugi sekiranya mereka cedera atau kehilangan ahli keluarga akibat tindakan keganasan antarabangsa.

Mahkamah Rayuan sebelum itu memutuskan Sberbank tidak layak mendapat kekebalan kedaulatan kerana didakwa menggunakan sistem perbankan AS bagi menyalurkan dana kepada Republik Rakyat Donetsk (DPR), kumpulan pemisah disokong Rusia yang dipersalahkan atas serangan peluru berpandu ke atas pesawat MH17.

Pesawat MH17 yang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur pada 17 Julai 2014 ditembak jatuh dengan peluru berpandu permukaan ke udara di kawasan dikuasai DPR di timur Ukraine, mengorbankan 298 nyawa termasuk Schansman.

Rusia menafikan sebarang penglibatan dalam insiden tersebut, namun Ukraine mengisytiharkan DPR sebagai organisasi pengganas, manakala AS pula mengenakan sekatan terhadap kumpulan berkenaan.

Sberbank yang kini majoritinya dimiliki Kementerian Kewangan Rusia berhujah bahawa ia layak menikmati kekebalan sebagai “negara asing” di bawah Akta Kekebalan Negara Asing (Foreign Sovereign Immunities Act).

Bank itu turut mendakwa keputusan mahkamah sebelum ini boleh menimbulkan ketegangan diplomatik dan membuka ruang kepada negara lain untuk mengambil tindakan sama terhadap AS.

Namun, peguam keluarga Schansman menegaskan undang-undang sudah jelas bahawa pengecualian aktiviti komersial tidak memberi perlindungan kepada entiti seperti Sberbank.

Dengan keputusan Mahkamah Agung itu, kes saman keluarga mangsa MH17 terhadap Sberbank kini diteruskan di mahkamah persekutuan AS.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button