BERITA SEMASADALAM NEGERI

Pelantikan Nick Adams: Kerajaan perlu tunggu pengesahan rasmi, bukan sekadar khabar angin

KUALA LUMPUR – Kerajaan Malaysia tidak boleh bersandar semata-mata pada khabar angin mengenai pencalonan pengulas konservatif Amerika Syarikat (AS), Nick Adams sebagai Duta Besar ke negara ini tanpa pengesahan rasmi daripada Washington.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan, Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra) masih belum menerima sebarang dokumen atau permohonan rasmi berkaitan pencalonan tersebut setakat ini.

“Soalan mengenai Nick Adams itu kita belum terima apa-apa perjanjian rasmi dari Amerika Syarikat. Jadi, jangan kita terburu-buru membuat andaian atau kenyataan berdasarkan desas-desus semata-mata.

“Kalau kita tolak hanya atas cakap-cakap orang, nanti dikata kita yang berlebih-lebihan sedangkan pihak sana belum pun mengemukakan sebarang cadangan. Takut nanti kita yang malu sendiri, ibarat hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Mohamad Hasan berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Kuala Krai, Abdul Latiff Abdul Rahman berhubung pencalonan Nick Adams sebagai Duta Besar AS ke negara ini, di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjelaskan bahawa sebarang pencalonan rasmi akan terlebih dahulu melalui proses penilaian oleh Wisma Putra sebelum dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri untuk mendapatkan pandangan dan keputusan akhir.

Nick Adams

Sementara itu, menyentuh isu penderitaan rakyat Palestin, Mohamad menegaskan Malaysia tidak akan berganjak daripada pendiriannya dan akan terus menggunakan pelbagai platform antarabangsa untuk menuntut keadilan bagi rakyat Gaza.

“Walaupun ASEAN dan majoriti negara di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebulat suara menyokong gencatan senjata dan penyelesaian isu Palestin, ia tetap gagal direalisasikan kerana halangan kuasa veto oleh lima negara tetap Majlis Keselamatan PBB.

“Dulu sukar nak dapatkan kenyataan bersama ASEAN, tapi sekarang sudah ada kesepakatan. Malangnya, bila sampai ke peringkat PBB, kuasa veto masih menjadi penghalang. Kita sedang terus berusaha agar sistem veto ini dikaji semula,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button