BERITA SEMASA

e-Invois perkukuh pematuhan cukai: 52,540 pembayar cukai tampil lapor pendapatan RM4.07 bilion

CYBERJAYA – Lebih 230,000 pembayar cukai telah mengemukakan e-Invois yang melibatkan pengeluaran 1.505 bilion e-Invois secara keseluruhan sejak ia dilaksanakan bermula 1 Ogos 2024.

Menurut Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL), perkembangan itu menunjukkan sokongan serta kesediaan pembayar cukai untuk memperkukuh pendigitalan dalam operasi perniagaan.

“Selaras dengan prinsip ketelusan dalam sistem percukaian negara, bermula 1 Januari 2026, semua pembayar cukai perlu mengeluarkan e-Invois bagi setiap transaksi jualan barangan atau penyediaan perkhidmatan yang melebihi RM10,000.

“Bagi tujuan tersebut, pembeli perlu mengemukakan maklumat nombor pengenalan diri atau nombor pengenalan cukai (TIN) kepada penjual bagi membolehkan e-Invois dapat dikeluarkan dengan tepat.

“Pada masa yang sama, HASiL telah membangunkan model analitik untuk mengenal pasti anomali, transaksi mencurigakan serta corak tingkah laku luar kebiasaan bagi tujuan penguatkuasaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu katanya, inisiatif itu terbukti berkesan di mana HASiL berjaya melaksanakan penilaian risiko yang lebih efektif, sekali gus meningkatkan tahap pematuhan cukai secara sukarela dan menyumbang kepada peningkatan kutipan hasil negara.

Berdasarkan analisis tersebut katanya, HASiL mengesan pembayar cukai yang menunjukkan corak transaksi kewangan aktif tetapi tidak sepadan dengan rekod percukaian sedia ada, termasuk terdapat transaksi pembelian bernilai tinggi melebihi RM100,000, pembelian kenderaan dan aset serta aktiviti transaksi dalam talian yang aktif tanpa rekod pelaporan pendapatan yang sewajarnya.

“HASiL kekal komited untuk mempergiat pendekatan ‘nudging’ dan pematuhan berasaskan data e-Invois (data-driven) bagi meningkatkan kesedaran serta memberi peluang kepada pembayar cukai untuk membuat pembetulan dan mengemukakan maklumat cukai secara sukarela sebelum sebarang tindakan lanjut diambil.

“Melalui pendekatan ini, seramai 52,540 pembayar cukai telah tampil mengemukakan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) bagi pendapatan tahun taksiran ke belakang dengan jumlah pendapatan keseluruhan sebanyak RM4.07 bilion dan cukai kena dibayar berjumlah RM1.009 bilion,” katanya .

Selain itu katanya, hasil pemantauan berterusan yang dijalankan mendapati masih terdapat pembayar cukai yang tidak mematuhi keperluan pelaksanaan e-Invois seperti yang ditetapkan.

Menurutnya, antara kesilapan yang dilakukan oleh pembayar cukai yang dikenal pasti ialah pengeluaran e-Invois secara tidak konsisten, termasuk situasi di mana e-Invois hanya dikeluarkan bagi sebahagian transaksi dan gagal mengeluarkan e-Invois bagi transaksi berikutnya.

Pada masa sama, pengeluaran e-Invois yang tidak mematuhi ketetapan sebagaimana yang dinyatakan dalam Garis Panduan e-Invois, penghantaran e-Invois disatukan selepas tempoh masa yang dibenarkan dan gagal mengeluarkan e-Invois bagi transaksi jualan barangan atau penyediaan perkhidmatan yang melebihi RM10,000 mulai 1 Januari lalu.

Sehubungan dengan itu ka, HASiL menasihatkan semua pembayar cukai agar memastikan pengeluaran e-Invois dilaksanakan sepenuhnya mengikut ketetapan yang berkuat kuasa.

“Bagi pembayar cukai yang masih belum mengeluarkan e-Invois bagi transaksi terdahulu, tindakan pembetulan secara sukarela hendaklah dilaksanakan dengan kadar segera.

“Tindakan penguatkuasaan dan perundangan akan diambil bagi memastikan tahap pematuhan yang tinggi serta menjamin keadilan dalam sistem percukaian negara sentiasa terpelihara,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button