GAYA HIDUPRENCANA

Sistem Taksir Sendiri Duti Setem (STSDS): Langkah besar Malaysia ke arah pemodenan cukai

MALAYSIA bakal melangkah ke satu fasa baharu dalam landskap pentadbiran percukaian apabila Sistem Taksir Sendiri Duti Setem (Self-Assessment System for Stamp Duty – STSDS) diperkenalkan secara rasmi bermula 1 Januari 2026.

Inisiatif itu menandakan peralihan besar daripada sistem penilaian rasmi oleh pihak berkuasa kepada pendekatan pematuhan kendiri, selari dengan aspirasi negara ke arah pentadbiran cukai berteraskan digital dan kecekapan tadbir urus fiskal.

Sistem Taksir Sendiri Duti Setem
Sistem Taksir Sendiri Duti Setem merupakan langkah besar LHDN ke arah pemodenan cukai negara.

Menurut Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), melalui STSDS, pembayar duti setem akan menaksir, mengira dan membayar duti secara sendiri menerusi platform digital MyTax.

“Perubahan ini bukan sekadar penambahbaikan teknikal sebaliknya mencerminkan transformasi struktur dalam hubungan antara pembayar cukai dan pihak berkuasa di mana kepercayaan, akauntabiliti dan ketelusan menjadi tunjang utama,” kata LHDN dalam satu kenyataan.

Daripada penilaian rasmi kepada pematuhan kendiri

LHDN berkata, proses duti setem sebelum ini banyak bergantung kepada penilaian rasmi oleh pegawai pemungut yang sering mengambil masa dan melibatkan pemprosesan manual.

“Oleh itu, STSDS mengubah paradigma tersebut dengan menjadikan penyata yang difailkan oleh pembayar duti sebagai suatu taksiran yang sah, kecuali sekiranya pihak berkuasa memilih untuk menjalankan penilaian atau audit lanjut.

“Peralihan ini akan dilaksanakan secara berfasa antara 2026 hingga 2028, bagi memastikan kelancaran sistem serta memberi ruang penyesuaian kepada pengguna,” katanya.

Fasa pertama bermula 1 Januari 2026 melibatkan suratcara sewa atau pajakan, sekuriti dan penyeteman am.

Fasa kedua pada 1 Januari 2027 pula merangkumi suratcara pindah milik harta tanah yang tidak memerlukan nilaian Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH).

Fasa ketiga pula berkuat kuasa 1 Januari 2028 akan meliputi semua kategori suratcara lain.

“Pelaksanaan ini dimungkinkan melalui pindaan Akta Setem 1949 yang bukan sahaja memberi kuasa undang-undang kepada pembayar duti untuk membuat taksiran sendiri malah memperkukuhkan kuasa audit dan penalti bagi memastikan pematuhan yang lebih tinggi,” jelas LHDN.

Bagaimana STSDS berfungsi

Di bawah sistem baharu ini, pembayar duti perlu mengemukakan Borang Nyata STSDS secara digital melalui portal MyTax.

Setelah difailkan, borang tersebut dianggap sebagai suatu taksiran yang sah dan duti perlu dibayar pada masa yang sama.

Logo LHDN.

Tanggungjawab pembayar duti menjadi lebih menyeluruh termasuk penyimpanan rekod yang teratur, pemfailan dalam tempoh ditetapkan serta pembayaran duti yang tepat.

“Kegagalan mematuhi keperluan ini bukan sahaja boleh mengundang penalti yang lebih tinggi malah meningkatkan risiko audit.

“Justeru, pendekatan ini meletakkan disiplin pematuhan sebagai elemen kritikal khususnya kepada perniagaan, firma guaman dan pemain industri hartanah yang terlibat secara langsung dengan transaksi berskala besar,” jelasnya lagi.

Tangani ketirisan, percepat kutipan

Menurut LHDN lagi, dari sudut pentadbiran negara, STSDS dijangka menjadi alat penting untuk mengurangkan ketirisan hasil akibat dokumen yang tidak atau kurang dimeterai.

Dengan keperluan pembayaran dibuat serentak semasa pemfailan, hasil kerajaan dapat dikutip dengan lebih pantas dan sistematik.

“Pendigitalan sepenuhnya juga berpotensi mengurangkan kos pentadbiran, meminimumkan kesilapan manual serta membolehkan audit sasaran dilakukan berdasarkan analisis data.

“Dalam jangka panjang, ia menyokong usaha kerajaan mengukuhkan asas fiskal tanpa perlu menaikkan kadar cukai secara langsung,” katanya.

Manfaat nyata kepada pengguna dan perniagaan

Bagi pembayar duti, STSDS menawarkan pelbagai kelebihan praktikal. Proses digital yang diperkemas menghapuskan keperluan menunggu notis taksiran sekali gus mempercepatkan urusan dokumentasi.

Perniagaan pula mempunyai kawalan lebih baik terhadap masa pemfailan, pengiraan dan pembayaran.

Tempoh pemprosesan yang lebih singkat memberi kesan langsung kepada urus niaga hartanah, saham dan perjanjian komersial manakala audit trail digital yang lebih jelas membantu mengurangkan kesilapan serta pertikaian di kemudian hari.

Dengan MyTax kini berfungsi sebagai platform tunggal untuk cukai pendapatan, e-Invois dan duti setem, pengurusan pematuhan cukai menjadi lebih tersusun dan bersepadu bagi individu serta sektor korporat.

Belajar daripada pengalaman antarabangsa

Pelaksanaan STSDS bukanlah sesuatu yang asing di peringkat global.

Negara seperti Hong Kong, Singapura, United Kingdom dan Australia telah lama mengamalkan sistem ini dengan tahap kejayaan yang tinggi termasuk pemprosesan lebih pantas, pengurangan ketirisan dan keberkesanan audit.

Namun, pengalaman antarabangsa turut menunjukkan cabaran seperti gangguan sistem dan isu keserasian teknologi.

“Malaysia mengambil pendekatan berhati-hati melalui pelaksanaan berfasa serta penyediaan sokongan teknikal bagi mengurangkan gangguan kepada pengguna,” katanya.

Kesediaan pengguna jadi penentu

Pada akhirnya, kejayaan STSDS bergantung kepada tahap kesediaan pembayar duti sendiri.

Oleh itu, LHDN menasihatkan perniagaan, peguam dan pemain industri hartanah supaya mula mendaftar MyTax serta memahami aliran kerja STSDS lebih awal.

“Walaupun terdapat tempoh peralihan melalui pelaksanaan berfasa, penalti yang lebih tinggi di bawah Akta Setem menuntut persediaan rapi oleh sektor korporat dan profesional,” kata LHDN.

LHDN terus komited memperkukuh sistem percukaian negara melalui transformasi digital, penguatkuasaan yang telus dan libat urus berterusan.

Dalam konteks ini, STSDS bukan sekadar sistem baharu tetapi satu ujian keupayaan Malaysia mengimbangi kecekapan digital dengan disiplin fiskal yang mampan.

Maklumat lanjut dan garis panduan boleh diperoleh melalui portal rasmi HASiL di www.hasil.gov.my/duti-setem/sistem-taksir-sendiri-duti-setem-stsds.

INFO Pelaksanaan Berfasa STSDS

Pelaksanaan STSDS akan diperkenalkan secara berfasa mengikut garis masa berikut:

i. Fasa 1 berkuat kuasa 1 Januari 2026 melibatkan suratcara Sewa/Pajakan, Sekuriti dan Penyeteman Am.
ii. Fasa 2 berkuat kuasa 1 Januari 2027 merangkumi suratcara Pindah Milik Harta Tanah yang tidak memerlukan nilaian JPPH.
iii. Fasa 3 berkuat kuasa 1 Januari 2028 meliputi semua kategori suratcara lain yang tidak termasuk dalam Fasa 1 dan Fasa 2.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button