HASiL kemas kini garis panduan tadbir urus cukai korporat
CYBERJAYA – Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) mengemas kini Rangka Kerja Tadbir Urus Percukaian Korporat (TCGF) sebagai sebahagian usaha berterusan memperkukuh pelaksanaan Program Tadbir Urus Percukaian Korporat (TCG) dalam kalangan pembayar cukai korporat.
HASiL memaklumkan, garis panduan berkenaan yang dikemas kini sehingga 1 Disember 2025 kini boleh diakses menerusi portal rasmi agensi itu.
Menurut HASiL, pengemaskinian tersebut mengambil kira maklum balas hasil sesi libat urus bersama organisasi dan pengamal percukaian, selain merujuk amalan terbaik di peringkat antarabangsa bagi memastikan tadbir urus percukaian yang lebih telus, berintegriti dan berkesan.
Program TCG yang dilancarkan pada 1 Mac 2022 menekankan kepentingan tadbir urus percukaian yang mantap sebagai asas kepada pengurusan cukai korporat yang sistematik dan berdaya tahan.
“Dalam versi terkini, garis panduan TCGF menekankan pelaksanaan Penilaian Risiko Tahunan (Annual Risk Assessment) bagi menggantikan prosedur Annual Review sebelum ini, sekali gus memperkukuh pengurusan risiko serta tahap pematuhan cukai secara lebih menyeluruh,” katanya dalam kenyataan hari ini.
HASiL percaya penambahbaikan itu dapat meningkatkan kefahaman pembayar cukai korporat serta membantu organisasi merangka strategi tadbir urus cukai yang lebih berkesan dan berstruktur.
Katanya, dokumen Guidelines on Tax Corporate Governance Framework boleh diakses melalui portal rasmi HASiL di www.hasil.gov.my menerusi menu Perundangan > Rangka Kerja > Rangka Kerja Tadbir Urus Percukaian Korporat > Guidelines on Tax Corporate Governance Framework, atau dimuat turun terus melalui pautan pantas yang disediakan.
Bagi sebarang pertanyaan atau maklum balas, HASiL memaklumkan pembayar cukai boleh menghubungi e-mel khas di tcg@hasil.gov.my, Hasil Contact Centre (HCC) di talian 03-8911 1000 atau 603-8911 1000 (luar negara), perkhidmatan HASiL Live Chat serta borang maklum balas di portal rasmi HASiL.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







