
Dataran Niaga Kampung Manjoi siap dibina, bakal rancakkan ekonomi setempat
IPOH – Dataran Niaga Kampung Manjoi yang dinaik taraf dengan peruntukan sebanyak RM500,000 dijangka mampu menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi setempat.
Projek itu yang merupakan sebuah inisiatif di bawah Program Kampung Angkat MADANI dengan dirasmikan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) menyediakan ruang perniagaan lebih tersusun dan kondusif kepada peniaga tempatan.
Menurut HASiL dalam satu kenyataan, dataran itu yang dibangunkan di tapak Pasar Baharu Manjoi, Jalan Seri Tanjung di sini merupakan lokasi yang sekian lama menjadi nadi aktiviti ekonomi dan sosial penduduk setempat.
“Menerusi peruntukan berjumlah RM500,000.00 yang disalurkan oleh Kementerian Kewangan (MoF), tapak Pasar Baharu Manjoi kini dinaik taraf menjadi sebuah dataran niaga berdaya saing, selesa dan selamat untuk peniaga serta pengunjung.
“Kerja-kerja pembangunan bermula pada 25 November 2025 dan siap sepenuhnya pada 31 Januari lalu.
“Projek ini dijangka memberi nafas baharu kepada kawasan Pasar Baharu Manjoi, menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi setempat dengan membuka lebih banyak peluang keusahawanan dan meningkatkan taraf sosio-ekonomi komuniti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam majlis itu, HASiL turut mengambil kesempatan menyantuni penduduk setempat dengan penyerahan bakul makanan kepada 30 orang asnaf terpilih.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif HASiL,
Datuk Dr Abu Tariq Jamaluddin dan turut dihadiri oleh Pengarah Pembangunan Negeri Perak, Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohd Zakuan Zakaria.
Dalam ucapannya, Abu Tariq menyatakan bahawa HASiL sentiasa menyokong usaha yang memberi manfaat langsung kepada rakyat.
“Pembangunan Dataran Niaga Kampung Manjoi mencerminkan kerjasama jitu antara kerajaan dan komuniti setempat mampu merancakkan ekonomi tempatan serta meningkatkan kesejahteraan masyarakat,” katanya.
Tambah beliau lagi, selaras dengan agenda MADANI, HASiL akan terus memainkan peranan aktif dalam memperkukuh pembangunan komuniti yang inklusif dan berimpak jangka panjang.
Untuk rekod, Program Kampung Angkat MADANI diperkenalkan dalam Belanjawan 2024 bagi meningkatkan akses kemudahan asas dan perkhidmatan kepada komuniti melalui pendekatan Whole of Government.
Inisiatif itu diharap dapat memperkukuh hubungan antara HASiL dan masyarakat setempat serta menyumbang kepada pembangunan komuniti dan pertumbuhan ekonomi yang mampan, selaras dengan aspirasi negara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







