BERITA SEMASA

Suhaimi Sulaiman letak jawatan Ketua Pengarah Penyiaran

KUALA LUMPUR – Datuk Suhaimi Sulaiman mengesahkan telah melepaskan jawatannya sebagai Ketua Pengarah Penyiaran bagi memberi tumpuan sepenuhnya kepada perniagaan yang diusahakannya.

Suhaimi, 64, berkata, keputusan tersebut dibuat tanpa melibatkan sebarang unsur lain, sebaliknya sebagai sebahagian daripada perkembangan fasa kehidupannya.

“Ini adalah sebahagian daripada perkembangan kehidupan kita. Akan sampai satu tahap dalam hidup, kita perlu ‘move on’ dan buat perkara lain. Saya berumur 64 tahun.

“Sebelum masuk sini (Radio Televisyen Malaysia), saya ada tiga syarikat iaitu kafe, backpackers hostel dan bisnes yang tergendala sekarang ini adalah khidmat perundingan,” katanya memetik laporan mStar.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Sidang Media Puasa Raya RTM 2026, hari ini.

Menurut Suhaimi, surat peletakan jawatan telah dihantar dan beliau akan menamatkan perkhidmatan pada hujung Februari ini.

Jelasnya, keputusan itu turut diterima baik oleh Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.

“Saya punya notis pengunduran adalah 30 hari. Jadi, saya akan tamat hujung bulan ini, insya-Allah.

“Menteri pun faham dan terima. Dia pun tanya betul ke, dah nekad ke? Tapi saya maklumkan ini keputusan saya,” ujarnya.

Mengulas pengalaman berkhidmat di RTM selama tiga tahun, Suhaimi menyifatkannya sebagai satu perjalanan yang menarik dan menyeronokkan.

“Keseluruhannya, saya rasa ia adalah satu pengalaman yang seronok di RTM. Pasukan ini sangat bagus.

“Saya dapat rasakan yang RTM ini sudah bersedia untuk meluaskan pengaruhnya lagi. Mereka semua ini hebat-hebat,” katanya.

Difahamkan, tarikh akhir perkhidmatannya di agensi penyiaran itu akan berakhir pada 22 Februari ini.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button