BERITA SEMASADALAM NEGERI

Fahmi Fadzil rasmi Program Jelajah Ramadan 2026, konvoi 15 kenderaan ke 30 lokasi

JOHOR BAHRU – Program Jelajah Ramadan 2026 anjuran Jabatan Penyiaran Malaysia dilancarkan secara rasmi oleh Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil di Pasar Tani Kekal Datin Halimah, Larkin, di sini hari ini.

Memasuki edisi ke-14 penganjurannya, program yang berlangsung selama 20 hari sehingga 8 Mac ini melibatkan 15 kenderaan serta kira-kira 40 kru termasuk juruhebah dan selebriti jemputan.

Konvoi jelajah itu akan singgah di 30 lokasi merangkumi zon utara, selatan, tengah dan timur Semenanjung serta Sabah dan Sarawak.

Fahmi berkata, penganjuran program itu membuktikan peranan RTM sebagai penyiar nasional yang bukan hanya menyampaikan berita dan hiburan tetapi turut memikul tanggungjawab sosial kepada rakyat.

“Sejak dilaksanakan pada 2012, Jelajah Ramadan berkembang menjadi simbol komitmen RTM mendekati masyarakat.

“Ia selari dengan aspirasi Kerajaan MADANI yang menekankan nilai Ihsan, Kesejahteraan dan Kemampanan sosial,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jelajah Ramadan RTM 2026 di Pasar Tani Kekal Datin Halimah, Larkin, di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah; Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM), Datuk Suhaimi Sulaiman; serta wakil penaja dan rakan strategik.

Bertemakan “Satu Suara, Satu Jiwa”, penganjuran kali ini melambangkan penyatuan peranan 34 stesen radio RTM dalam menyampaikan aspirasi rakyat, menyebarkan mesej kebaikan dan memperkukuh hubungan antara RTM dengan masyarakat.

Inisiatif tersebut selari dengan gagasan Malaysia MADANI yang menekankan teras ihsan, kesejahteraan dan kemampanan dalam setiap pendekatan.

Sejak diperkenalkan pada 2012, program itu mencipta sejarah apabila diiktiraf oleh Malaysia Book of Records sebagai program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) terpanjang di negara ini dengan pelaksanaan 38 aktiviti di seluruh Malaysia.

Pengiktirafan berkenaan membuktikan komitmen berterusan RTM dalam melaksanakan program kemasyarakatan berimpak tinggi.

Dalam pada itu, beliau menegaskan Kementerian Komunikasi komited memastikan RTM terus relevan dan berdaya saing dalam era transformasi digital menerusi peluasan platform penstriman dalam talian dan integrasi media sosial.

“Walaupun teknologi berkembang, nilai asas penyiaran awam seperti integriti, tanggungjawab sosial dan semangat kebersamaan mesti terus dipertahankan,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada penaja utama BABA’s serta rakan penaja dan strategik termasuk PETRON, Hotel Seri Malaysia, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), TVET Malaysia, Raja Perfume, Himalaya, Jabatan ATOM Malaysia, QSR Brands, Nestle, AEON dan TikTok.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button