LUAR NEGARA

Ejen CIA maut di Mexico didakwa beroperasi tanpa kebenaran rasmi

MEXICO CITY – Kerajaan Mexico memaklumkan dua ejen persekutuan Amerika Syarikat (AS) yang maut dalam nahas kereta ketika terlibat dalam serbuan antidadah di negara itu tidak mempunyai kebenaran rasmi untuk menjalankan operasi di wilayah negara itu.

Menurut kenyataan Kabinet Keselamatan Mexico semalam, kedua-dua warga AS itu dilaporkan berada di Mexico dengan status kemasukan berbeza, seorang sebagai pelawat biasa manakala seorang lagi menggunakan pasport diplomatik.

Beberapa laporan media antarabangsa menyebut, kedua-dua individu tersebut merupakan pegawai Agensi Perisikan Pusat (CIA), namun pihak berkuasa AS masih belum mengesahkan perkara itu secara rasmi.

CIA juga dilaporkan enggan mengulas, lapor Al Jazeera.

“Tiada seorang pun daripada mereka mempunyai akreditasi rasmi untuk menyertai aktiviti operasi dalam wilayah negara ini,” menurut kenyataan itu sambil menegaskan keperluan untuk menghormati sepenuhnya kedaulatan Mexico dalam kerjasama antarabangsa.

Presiden Mexico, Claudia Sheinbaum berkata, kerajaannya akan menyiasat sama ada undang-undang keselamatan negara telah dilanggar susulan insiden berkenaan.

Di bawah undang-undang Mexico, ejen asing perlu mendapatkan kebenaran kerajaan persekutuan sebelum menjalankan operasi dan tidak boleh bekerjasama secara langsung dengan pegawai tempatan tanpa kelulusan rasmi.

“Jelas sekali pihak tentera tidak mengetahui bahawa terdapat individu yang terlibat bukan warganegara Mexico, bahawa terdapat warga asing yang menyertai operasi itu.

“Ini bukan perkara yang boleh dipandang ringan oleh rakyat Mexico,” kata Sheinbaum kepada pemberita.

Terdahulu media melaporkan, persoalan timbul selepas dua ejen AS itu terbunuh dalam kemalangan jalan raya di negeri Chihuahua, utara Mexico, Ahad lalu ketika pulang daripada operasi memusnahkan makmal dadah haram.

Kenderaan yang dinaiki mereka dilaporkan terbabas ke dalam gaung sebelum meletup. Dua pegawai Mexico turut maut dalam insiden tersebut.

Duta AS ke Mexico, Ronald Johnson pula menyifatkan kedua-dua mangsa sebagai ‘kakitangan kedutaan’ manakala peguam negara Chihuahua menyebut mereka sebagai ‘pegawai jurulatih’ dari kedutaan yang menjalankan tugas latihan rutin.

Sementara itu, pentadbiran Presiden AS, sebelum ini berjanji mengambil pendekatan lebih agresif terhadap Amerika Latin bagi mengekang penyeludupan dadah, termasuk melabel beberapa kartel sebagai ‘organisasi pengganas asing’.

Langkah itu bagaimanapun terus menimbulkan kebimbangan berkaitan pelanggaran kedaulatan negara jiran serta campur tangan unilateral Washington dalam operasi keselamatan serantau.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button