BERITA SEMASA

Mayat Nirmal Purja ditemukan, semua 10 pendaki tragedi Broad Peak disahkan maut

ISLAMABAD – Pasukan penyelamat Pakistan berjaya menemukan dan mengeluarkan jasad pendaki gunung terkenal dunia, Nirmal Purja yang maut dalam tragedi runtuhan salji di Gunung Broad Peak, Pakistan.

Jasad pendaki kelahiran Nepal yang juga warganegara Britain itu ditemukan pada ketinggian kira-kira 5,700 meter di Broad Peak, gunung ke-12 tertinggi dunia yang terletak dalam banjaran Karakoram, menurut Kelab Alp Pakistan.

Jurucakap Kelab Alp Pakistan, Naila Kiani, berkata pasukan penyelamat darat tiba di lokasi berkenaan dan menemukan mayat Purja yang lebih dikenali sebagai Nimsdai.

“Pasukan penyelamat darat telah menemui mayat Nirmal Purja atau lebih dikenali sebagai Nimsdai, pada ketinggian kira-kira 5,700 meter di Broad Peak,” katanya.

Menurut Kiani, sehingga kini tujuh mayat pendaki telah ditemukan manakala baki tiga lagi mangsa turut berjaya dikesan iaitu Wang Zhong, Nima Sherpa dan Kili Pemba Sherpa yang dikenali sebagai Kilu.

Kesemua pendaki yang disahkan maut dalam kejadian runtuhan salji di gunung Broad Peak, Pakistan.

Beliau berkata, pasukan penyelamat kini sedang menjalankan operasi membawa turun jasad semua mangsa ke Japanese Camp sebelum proses seterusnya dilakukan.

Tragedi itu berlaku selepas kumpulan pendaki berkenaan dilaporkan hilang ketika melakukan pendakian di Broad Peak akibat runtuhan salji dan tanah runtuh yang melanda kawasan berkenaan.

Dengan penemuan kesemua mangsa, 10 ahli ekspedisi yang terlibat dalam tragedi itu disahkan meninggal dunia.

Purja, 42, merupakan antara pendaki paling berpengaruh di dunia selepas mencipta sejarah menerusi projek Project Possible apabila berjaya menawan kesemua 14 puncak gunung tertinggi dunia melebihi ketinggian 8,000 meter dalam tempoh enam bulan enam hari pada 2019.

Beliau juga pernah berkhidmat dalam pasukan elit Gurkha British Army sebelum menceburi bidang pendakian profesional sepenuh masa.

Kematian Purja dianggap satu kehilangan besar kepada komuniti pendakian dunia, khususnya selepas beliau dikenali sebagai simbol ketahanan fizikal dan mental dalam menakluki puncak-puncak paling mencabar. -AGENSI

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button