JENAYAH & MAHKAMAH

Mekanik maut motosikal rempuh van polis di Rompin

KUANTAN – Seorang mekanik maut selepas motosikal ditunggangnya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah van Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Kilometer 134 Jalan Kuantan–Johor Bahru, Rompin, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Rompin, Superintendan Sharif Shai Sharif Mondoi berkata, mangsa, Mohd Faizal Ismail, 38, dari FELDA Selendang 1 disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian pada pukul 7.20 malam.

Menurutnya, van berkenaan dipandu anggota polis berusia 26 tahun yang dalam perjalanan pulang dari Maran menuju ke bandar Rompin untuk mengisi minyak di sebuah stesen minyak.

“Pemandu van bersama lima anggota Ibu Pejabat Polis Daerah Rompin baru selesai penugasan Ops Pangguni di Maran dalam perjalanan pulang ke IPD Rompin.

“Mangsa bekerja sebagai mekanik bengkel yang menunggang motosikal dari tempat kerja di Kampung Sepakat iaitu dari arah bandar Rompin menghala ke rumah di Taman Nusa Puteri, Rompin iaitu menghala ke arah Kuantan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, sebaik tiba di tempat kejadian, sebelum van membelok ke kanan, pemandunya memberikan laluan kepada beberapa kenderaan.

“Apabila laluan dipercayai selamat, van berkenaan masuk ke stesen minyak dan ketika itu kenderaan berkenaan dilanggar di bahagian sisi sebelah kiri oleh motosikal ditunggang mangsa yang sedang bergerak lurus.

“Penunggang motosikal meninggal dunia di tempat kejadian manakala enam anggota polis tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Rompin untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button