
35 kanak-kanak maut dalam sambutan Krismas di Ibadan
IBADAN (NIGERIA) – Sebanyak 35 kanak-kanak maut manakala enam lagi cedera dalam insiden rempuhan ketika sambutan pra Krismas di Sekolah Tinggi Islam, daerah Bashorun, di sini, semalam.
Menurut kenyataan pihak polis, rempuhan berlaku apabila ribuan orang termasuk lebih 5,000 kanak-kanak, hadir ke acara tersebut selepas penganjur menjanjikan pemberian wang tunai sebanyak 5,000 naira (RM30) dan makanan percuma.
Situasi menjadi tidak terkawal apabila orang ramai berebut untuk memasuki lokasi acara sebaik penganjur utama tiba.
Ketua Polis Negeri Oyo berkata, lapan individu termasuk penganjur utama, Naomi Silekunola yang juga tokoh terkenal di Ibadan, telah ditahan untuk siasatan lanjut.
Presiden Bola Tinubu dalam satu kenyataan menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan mengarahkan siasatan menyeluruh dilakukan bagi mengenal pasti punca kejadian.
Kerajaan negeri Oyo turut memaklumkan, mangsa yang cedera telah dihantar ke beberapa hospital sekitar Ibadan untuk mendapatkan rawatan.
“Para ibu bapa yang kehilangan anak diminta menghubungi hospital-hospital utama di bandar ini bagi mendapatkan maklumat lanjut,” kata jurucakap kerajaan negeri memetik laporan BBC.
Seorang pegawai perubatan di sebuah hospital memaklumkan, enam kanak-kanak dirawat dengan hanya dua disahkan selamat manakala empat lagi meninggal dunia dan di hospital lain, tiga lagi kematian dilaporkan.
Menurut ibu bapa yang hadir, mereka tiba seawal pukul 5 pagi bersama anak-anak dengan harapan mendapat bantuan yang dijanjikan.
Acara itu dijadualkan bermula pada pukul 10 pagi.
Negara Nigeria kini berdepan krisis ekonomi terburuk dalam generasi, menyebabkan lebih 10,000 orang hadir ke pesta tersebut.
Penganjur sebelum itu berjanji mengagihkan wang tunai dan makanan percuma kepada peserta.
Tragedi itu menambah siri insiden rempuhan di Nigeria tahun ini.
Mac lalu, dua pelajar maut di Universiti Negeri Nasarawa dalam kejadian rempuhan semasa program pengagihan beras.
Tiga hari kemudian, tujuh lagi maut di negeri Bauchi ketika seorang dermawan mengagihkan wang tunai.
Kerajaan negeri menyeru agar langkah keselamatan lebih ketat diambil bagi mengelakkan insiden serupa berulang.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








