AS perkenal ‘FIFA Pass’ untuk pemegang tiket Piala Dunia 2026
WASHINGTON – Amerika Syarikat (AS) memperkenalkan skim visa laluan pantas khas untuk pemegang tiket Piala Dunia FIFA 2026 sebagai sebahagian usaha memudahkan kemasukan jutaan peminat bola sepak ke negara itu.
Bagaimanapun, pentadbiran Presiden Donald Trump menegaskan bahawa kemudahan tersebut tidak bermaksud pemegang tiket diberikan kelulusan automatik untuk memasuki AS, menurut laporan agensi berita AFP.
Pengumuman mengenai skim dinamakan ‘FIFA Pass’ itu dibuat Trump di Oval Office bersama Presiden FIFA, Gianni Infantino ketika negara tuan rumah sedang berdepan kebimbangan bahawa dasar imigresen tegas Trump mungkin menjejaskan pengalaman peminat pada kejohanan berprofil tinggi tersebut.
“Bagi mereka yang bercadang hadir ke Piala Dunia, saya sangat galakkan anda memohon segera,” kata Trump.
Infantino menyifatkan pengumuman itu sebagai langkah besar dalam memastikan kelancaran pergerakan peminat.
Menurut Infantino, pemegang tiket Piala Dunia akan diberi keutamaan dalam penjadualan temu janji visa.
“Kami jangka antara lima hingga 10 juta orang akan datang ke Amerika dari seluruh dunia. Dengan FIFA Pass ini, kami pastikan peminat bola sepak sejati boleh hadir dalam keadaan terbaik,” katanya.
Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, bagaimanapun mengingatkan bahawa tiket tidak boleh disamakan dengan visa sah.
“Tiket anda bukan visa. Ia tidak menjamin kemasukan ke AS,” tegasnya.
Menurut Rubio, skim itu hanya mempercepatkan temu duga visa kepada tempoh enam hingga lapan minggu namun prosedur keselamatan tetap ketat dan tidak berubah.
Trump menjadikan Piala Dunia sebagai salah satu acara utama penggal keduanya bertepatan dengan sambutan ulang tahun ke-250 kemerdekaan AS tahun depan.
Namun kejohanan itu tidak terlepas daripada kontroversi politik termasuk kenyataan Trump sebelum ini mengenai kemungkinan memindahkan beberapa venue perlawanan kerana kebimbangan terhadap isu jenayah dan migrasi di bandar-bandar dikuasai Demokrat.
Majlis undian kumpulan dijangka berlangsung di Washington pada 5 Disember ini.
Pada hari sama, FIFA turut akan memperkenalkan anugerah keamanan baharu yang menurut spekulasi mungkin diberikan kepada Trump.
Kejohanan Bola Sepak Piala Dunia FIFA 2026 akan dianjurkan bersama oleh Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








