SUKAN

Piala Dunia 2026: Penyerang Iraq disoal siasat tujuh jam di lapangan terbang AS

CHICAGO – Penyerang utama Iraq, Aymen Hussein dilaporkan menjalani soal siasat hampir tujuh jam sejurus tiba di Lapangan Terbang O’Hare di sini bersama skuad kebangsaan negara itu awal pagi semalam.

Menurut seorang pegawai sukan Iraq yang mempunyai hubungan rapat dengan pasukan berkenaan, Hussein akhirnya dibenarkan memasuki Amerika Syarikat (AS) selepas melalui proses pemeriksaan tersebut.

Bagaimanapun, jurugambar skuad kebangsaan Iraq, Talal Salah dilaporkan tidak dibenarkan memasuki negara itu selepas ditahan lebih 10 jam untuk pemeriksaan lanjut.

Setakat ini, Persekutuan Bolasepak Iraq (IFA) mahupun Hussein sendiri masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung insiden berkenaan.

Jabatan Imigresen dan Kastam AS (ICE) serta Jabatan Keselamatan Dalam Negeri AS turut belum memberikan sebarang maklum balas terhadap laporan media Iraq mengenai soal siasat yang dijalankan ke atas pemain itu.

Rakaman yang tular di media sosial memperlihatkan sekumpulan penyokong Iraq berkumpul di lapangan terbang sejak awal pagi bagi menyambut ketibaan pasukan kebangsaan mereka menjelang aksi pembukaan kejohanan minggu depan.

Penyokong dilihat membawa bendera Iraq selain mengambil peluang bergambar bersama pemain yang baru tiba.

Pegawai sukan berkenaan turut mendakwa telefon bimbit Hussein diperiksa ketika proses kemasukan ke AS.

“Jurugambar pasukan kebangsaan, Talal Salah ditahan lebih 10 jam, menjalani pemeriksaan telefon yang sama dan akhirnya tidak dibenarkan memasuki AS,” katanya lapor Reuters.

Iraq bakal membuat penampilan semula di pentas Piala Dunia selepas kali terakhir beraksi dalam kejohanan itu 40 tahun lalu.

Hussein, 30, memainkan peranan penting dalam membantu Iraq layak ke pusingan akhir apabila menjaringkan gol penting sepanjang kempen kelayakan.

Beliau dijangka mengetuai jentera serangan Iraq yang turut dibarisi penyerang Ipswich Town, Ali Al-Hamadi serta dua pemain muda berbakat, Ali Jassim dan Youssef Amyn.

Iraq diundi dalam Kumpulan I bersama Perancis, Senegal dan Norway.

Piala Dunia yang dianjurkan bersama oleh AS, Mexico dan Kanada itu akan membuka tirainya pada Khamis ini.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button