LUAR NEGARA

Rangka wanita ditemukan di bawah lantai kuil berusia 155 tahun di Bangkok

BANGKOK – Pekerja binaan yang sedang menjalankan kerja pengubahsuaian dewan sembahyang di sebuah kuil berusia 155 tahun di Wat That Thong, di sini dikejutkan dengan penemuan sebuah keranda kayu yang telah reput mengandungi rangka seorang wanita yang ditanam di bawah lantai, berhampiran patung Buddha utama.

Keranda berwarna merah itu ditemukan pada 18 Julai lalu oleh seorang pekerja binaan, Jedsada, 21, ketika memasang alat bagi menyokong struktur Dewan Sembahyang Limpaporn untuk pembinaan tingkat ketiga.

Beliau segera memaklumkan penemuan tersebut kepada pihak pengurusan kuil sebelum polis dari Balai Polis Klong Tan bergegas ke lokasi bagi menjalankan siasatan, memetik laporan Bangkokpost.

Ketua pasukan penyiasat, Leftenan Kolonel Polis Chakrawut Donprajam berkata, pemeriksaan mendapati keranda itu mengandungi rangka wanita yang dipercayai telah dikebumikan di situ lebih 50 tahun lalu.

Turut ditemukan bersama rangka itu ialah sebuah dulang keluli tahan karat dan empat keping syiling bertarikh 1957.

Pasukan forensik polis bersama pakar perubatan dari Hospital Chulalongkorn telah menjalankan pemeriksaan terhadap keranda, rangka serta semua barangan yang ditemukan sebelum ia dibawa sebagai bahan bukti.

Menurut polis, tiada petunjuk yang menunjukkan berlakunya unsur jenayah atau perbuatan khianat dalam kes berkenaan.

Siasatan awal percaya rangka itu mungkin milik seorang penderma yang menyumbang kepada pembinaan dewan kuil tersebut dan dikebumikan oleh ahli keluarganya berhampiran patung Buddha sebagai penghormatan.

Polis bagaimanapun masih meneruskan siasatan bagi mengesahkan identiti wanita berkenaan serta latar belakang pengebumiannya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button