Syurga hak mutlak Allah, bukan milik wadah politik – Dr Zulkifli Hasan
KUALA LUMPUR – Perbezaan fahaman dan sokongan politik tidak wajar dijadikan alasan untuk menghukum atau merendahkan mana-mana pihak, termasuk membuat dakwaan berkaitan kedudukan seseorang di akhirat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, soal syurga dan neraka merupakan hak mutlak Allah SWT dan tidak boleh dijadikan jaminan oleh mana-mana individu, pemimpin atau organisasi politik.
Beliau berkata, sokongan kepada mana-mana organisasi politik bukan ukuran untuk memperoleh keredaan Allah SWT, sebaliknya keimanan, ketakwaan dan amalan soleh berlandaskan al-Quran serta al-Sunah menjadi asas utama.
“Sikap mendakwa kumpulannya pasti suci manakala orang lain terkeluar daripada rahmat Allah SWT adalah bentuk memuji diri sendiri dan ghuluw (sikap melampau) yang dilarang keras dalam Islam,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook semalam.
Zulkifli berkata, parti politik hanyalah wasilah atau perantara dalam usaha manusia yang tidak sunyi daripada kelemahan dan ijtihad, serta tidak boleh disamakan dengan agama atau dijadikan ukuran mutlak terhadap kedudukan seseorang di sisi Allah SWT.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak supaya mematangkan budaya politik dengan menjadikan keadilan, kemaslahatan ummah dan akhlak sebagai teras, bukannya mengeksploitasi sentimen agama untuk kepentingan politik.
“Berpolitiklah dengan matang dan berakhlak berasaskan keadilan serta kemaslahatan ummah, tanpa menggadaikan nilai akidah dan ukhuwah Islamiah,” katanya, sambil meminta masyarakat membezakan antara agama sebagai panduan hidup dengan parti politik sebagai wadah perjuangan manusia.
Semalam, media melaporkan Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan sebagai berkata bahawa sokongan kepada PAS dan perjuangan berteraskan Islam boleh menjadi laluan ke syurga.
Takiyuddin dilaporkan berkata, mereka yang menyertai PAS dan memperjuangkan Islam berpeluang memperoleh ganjaran syurga, selain menyifatkan individu yang meninggal dunia ketika mempertahankan Islam sebagai syahid.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














