LUAR NEGARA

Netanyahu dakwa pilihan raya Israel ‘dicuri’ parti Arab

JERUSALEM – Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mendakwa pilihan raya negara itu dicemari penyelewengan yang didakwa membabitkan parti-parti politik Arab, susulan keputusan undi yang menyaksikan blok pimpinannya gagal memperoleh majoriti di Parlimen.

Dakwaan itu dibuat selepas parti-parti pimpinan Arab mencatat pencapaian bersejarah dengan memperoleh 19 daripada keseluruhan 120 kerusi Knesset dalam pilihan raya pada 27 Oktober lalu.

Netanyahu menerusi parti Likud mendakwa kemenangan parti-parti Arab itu dipengaruhi kegiatan rasuah, ugutan, keganasan, pemalsuan serta penggunaan perisian tidak sah untuk menggerakkan pengundi.

Bagaimanapun, dakwaan berkenaan belum disertakan bukti yang dapat mengesahkan berlaku penipuan secara besar-besaran dalam proses pengundian.

Ketika ini, blok Netanyahu hanya memperoleh 53 kerusi, manakala gabungan pembangkang pimpinan Gadi Eisenkot meraih 48 kerusi.

Parti-parti Arab pula menguasai baki 19 kerusi, sekali gus membuka kemungkinan pembentukan kerajaan baharu tanpa penyertaan Netanyahu.

Bagaimanapun, dakwaan itu ditolak pihak berkuasa pilihan raya Israel yang menegaskan keputusan pengundian tetap sah walaupun siasatan terhadap kemungkinan campur tangan asing mengesahkan wujudnya unsur pelanggaran.

Ketua Jawatankuasa Pilihan Raya Pusat Israel, Noam Sohlberg berkata, sebarang syak wasangka yang disiasat tidak akan menjejaskan integriti keseluruhan proses pilihan raya atau keputusan yang telah diperoleh.

Sementara itu, Qatar turut menafikan dakwaan menyalurkan dana bagi mempengaruhi keputusan pilihan raya Israel dan menyifatkannya sebagai kempen penyebaran maklumat palsu.

Pemimpin pembangkang, Gadi Eisenkot pula menuduh Netanyahu melancarkan kempen terancang untuk mempertikaikan kesahihan keputusan pilihan raya, sekali gus mencetuskan keraguan terhadap proses demokrasi negara itu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button