Tentera Israel larang pegawai kanan guna telefon Android
TEL AVIV – Bagi memperkukuh keselamatan maklumat di peringkat tertinggi, Angkatan Pertahanan Israel (IDF) menetapkan penggunaan wajib iPhone untuk pegawai kanan berpangkat Leftenan Kolonel dan ke atas, menggantikan telefon pintar Android bagi urusan rasmi.
Arahan baharu itu dikeluarkan bagi mengurangkan risiko pencerobohan siber dan kebocoran data dengan menyeragamkan sistem operasi dalam kalangan barisan kepimpinan, sekali gus memudahkan kawalan keselamatan serta pelaksanaan kemas kini peranti.
Menurut laporan Army Radio, keputusan tersebut dibuat selepas penilaian keselamatan mendapati peranti Android lebih mudah terdedah kepada serangan penggodam berbanding iPhone.
Antara ancaman yang dikenal pasti termasuk taktik kejuruteraan sosial seperti ‘honeypot’, melibatkan individu menyamar di media sosial untuk memerangkap anggota tentera memasang perisian hasad.
Sebelum ini, sekatan hanya melibatkan pegawai berpangkat Kolonel ke atas, namun arahan terbaharu ini turut merangkumi ratusan pegawai kanan lain.
Android masih dibenarkan bagi kegunaan peribadi, namun semua komunikasi rasmi kini diwajibkan menggunakan iPhone.
Langkah ini diambil ketika Israel berdepan ancaman siber berterusan daripada kumpulan pejuang dan negara musuh, termasuk cubaan mengakses lokasi tentera secara masa nyata melalui aplikasi pesanan seperti WhatsApp.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








