LUAR NEGARA

Timbalan Datuk Bandar Tel Aviv cabar Datuk Bandar New York beradu tinju

TEL AVIV – Timbalan Datuk Bandar Tel Aviv, Guy Avner mencabar Datuk Bandar New York City, Zohran Mamdani menyertai perlawanan tinju amal susulan dakwaan bahawa pemimpin Amerika Syarikat (AS) itu berulang kali mengeluarkan kenyataan anti-Israel dan membangkitkan kebencian terhadap masyarakat Yahudi.

Cabaran itu dibuat menerusi satu rakaman video yang dimuat naik Avner di Instagram pada Isnin.

“Datuk Bandar Mamdani, anda telah mengeluarkan banyak kenyataan yang mengerikan dan mencetuskan kebencian terhadap masyarakat Yahudi.

“Sebagai Timbalan Datuk Bandar Tel Aviv, saya akan terus mempertahankan pendirian saya. Saya cintakan Amerika, saya cintakan New York City, tetapi anda, Mamdani, membawa pengaruh yang buruk,” katanya.

Avner kemudian mencabar Mamdani bertarung dalam satu perlawanan tinju amal sambil mencadangkan semua hasil kutipan disalurkan kepada badan kebajikan pilihan Datuk Bandar New York itu.

Beliau turut menggesa Mamdani menghentikan kritikan terhadap masyarakat Yahudi dan negara Israel, selain menyatakan perlawanan itu boleh diadakan di Tel Aviv.

Dalam kapsyen video berkenaan, Avner menggesa orang ramai berkongsi rakaman tersebut sehingga Mamdani menerima cabaran itu.

Beliau turut menyindir bahawa Mamdani tidak perlu bimbang ditahan jika perlawanan diadakan di Tel Aviv.

Sindiran itu merujuk kenyataan Mamdani sebelum ini yang mencadangkan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu boleh ditahan sekiranya menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York berdasarkan waran Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Bagaimanapun, Mamdani kemudian menarik balik kenyataan tersebut selepas mengakui pentadbirannya tidak mempunyai kuasa untuk melaksanakan penahanan itu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button