Insiden di KLCC: Bapa dakwa bertindak selepas anak dikasari wanita di pusat beli-belah
KUALA LUMPUR – Seorang bapa mendakwa terpaksa bertindak mempertahankan anak-anaknya selepas mereka dipercayai ditampar dan disepak seorang wanita ketika berkunjung ke sebuah pusat beli-belah, di sini semalam.
Lelaki yang dikenali sebagai Hafizuddin itu berkata, kejadian itu berlaku ketika dia membawa tiga anak, dua lelaki dan seorang perempuan ke acara Pokemon di pusat beli-belah berkenaan sebagai hadiah.
“Anak lelaki baru baik demam, so saya pun macam ok takpelah treat him something lah. Bawa dia pegi event Pokemon tu sebab dia memang peminat Pokemon.
“Kami berjalan sekeliling Ombak KLCC untuk kumpulkan stamp, untuk kumpul cop Pokemon,” katanya menerusi perkongsian video Kool FM di media sosial.
Menceritakan kejadian itu kepada penyampai, Datuk Aznil Nawawi, Hafizuddin berkata, sebelum anaknya menjadi mangsa, dua keluarga lain turut berdepan kejadian sama apabila anak mereka dan seorang wanita Melayu bertudung dipercayai ditampar oleh individu terbabit.
Katanya, kejadian terhadap dua mangsa berkenaan berlaku di belakangnya tanpa disedari kerana dia sedang berjalan bersama anak-anak.
BACA JUGA:
Polis siasat wanita didakwa tolak kanak-kanak, pukul kepala budak perempuan di pusat beli-belah
Bagaimanapun, dia mula menyedari sesuatu berlaku apabila terdengar bunyi seperti seorang kanak-kanak terjatuh.
“Saya tengok anak saya. Dia bangun dan buat muka pelik, kemudian matanya pandang ke arah mak cik itu.
“Saya pun panggillah, ‘excuse me’, tetapi dia terus berjalan dan langsung tidak mengendahkan saya,” katanya.
Lebih mengejutkan, wanita berkenaan didakwa kemudian menyepak kepala anak perempuannya pula sehingga kanak-kanak itu terjatuh.
Menurutnya, keadaan menjadi tegang apabila wanita terbabit menjerit meminta bantuan polis dan mendakwa dirinya berdepan individu tidak waras.
“Yang sempatnya dia yang jerit polis polis, ini orang gila. Dia cakap saya yang gila,” katanya.
Susulan kejadian itu, polis bantuan tiba di lokasi sebelum beliau bersama dua lagi keluarga yang mendakwa menjadi mangsa dipanggil ke bilik pengurusan untuk membuat laporan kepada pihak pengurusan KLCC.
“Saya seorang ayah yang membela nasib anak-anak saya atas apa yang berlaku di depan mata saya,” katanya.
Terdahulu media melaporkan, tindakan seorang wanita yang didakwa menolak seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun sehingga terjatuh serta memukul kepala adik perempuannya yang berusia dua tahun di sebuah pusat beli-belah sedang disiasat polis.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Ahmad Azwan Amin Nordin berkata, berdasarkan laporan, wanita terbabit secara tiba-tiba menolak anak lelaki pengadu dari belakang sehingga terjatuh ketika mereka sedang berjalan bersama.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |













