KDN belum putuskan calon pengganti Mohd Shuhaily di AKPS
ALOR SETAR – Pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) masih belum membuat sebarang keputusan mengenai calon Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) bagi menggantikan Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain yang akan kembali ke Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Menurut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, perkara itu masih belum dibincangkan di peringkat kementerian.
“Belum, kita belum bincang,” katanya selepas menghadiri Majlis Pemberian Bantuan Khas Kewangan kepada Pemandu Teksi, Kereta Sewa dan Bas Sekolah di Dewan Insaniah, Kompleks Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK), Mergong, di sini hari ini.
Hadir sama, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.
Mengenai status perkhidmatan Mohd Shuhaily, beliau berkata, perkara itu perlu diuruskan mengikut aturan perkhidmatan awam susulan pertuduhan yang dikenakan terhadap pegawai terbabit.
“Dari segi penjawat awam, apabila seseorang dikenakan pertuduhan, ada sistem dan aturan yang perlu diuruskan oleh bahagian perkhidmatan awam,” katanya.
Laporan media sebelum ini menyebut, KDN mengambil keputusan mengembalikan Mohd Shuhaily yang berkhidmat secara pinjaman kader sebagai Ketua Pengarah AKPS kepada PDRM.
Bagaimanapun, menerusi hantaran di Facebook rasmi AKPS pagi tadi, Mohd Shuhaily dilihat kembali menjalankan tugas selepas bercuti minggu lalu, termasuk mempengerusikan Mesyuarat Commander’s Call Bil 3/2026.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














