Selangor cadang perluas inisiatif makanan percuma kepada calon SPM
SHAH ALAM – Kerajaan negeri Selangor merancang menyediakan kemudahan makanan percuma buat kira-kira 70,000 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di seluruh negeri menerusi inisiatif khas Nutrisi Selangor (NutriSel) SPM 2026.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, inisiatif itu bertujuan memastikan semua pelajar Tingkatan Lima menerima makanan sewajarnya sepanjang hari peperiksaan bagi mata pelajaran teras yang dijadualkan berlangsung tidak lama lagi.

“Sepanjang peperiksaan itu, kita akan sediakan makanan pagi atau makanan sewajarnya (tengah hari) kepada anak-anak ini supaya mereka dapat memasuki dewan peperiksaan tanpa halangan serta menambah semangat mereka untuk menjawab soalan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir menyampaikan pek makanan Program NutriSel di Sekolah Rendah Agama Integrasi (SRAI) Seksyen 19, di sini hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin dan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Shahzihan Ahmad.
Amirudin berkata, inisiatif khas Nutrisel SPM 2026 merupakan sebahagian daripada pelaksanaan Program NutriSel yang bermula sejak Ogos lalu bagi menjaga kebajikan serta pemakanan 104,640 pelajar sekolah rendah dan menengah daripada kategori B40, dengan peruntukan melebihi RM12.5 juta.
Tambah beliau, peruntukan bagi program itu merangkumi sumbangan RM7.82 juta daripada pihak berkuasa tempatan (PBT), manakala RM4.73 juta daripada Unit Perancang Ekonomi Negeri.
Dalam perkembangan berkaitan, Amirudin berkata, kerajaan negeri turut mengagihkan roti dan susu kotak secara percuma menerusi inisiati Mega Nutrisel kepada 993,670 murid di 962 sekolah seluruh Selangor dengan kerjasama rakan strategik Farm Fresh dan Gardenia.
“Mega Nutrisel akan dilanjutkan sehingga 6 atau 7 Nov, sebelum peperiksaan SPM berlangsung dan diberikan kepada semua pelajar secara sekali pengagihan.
“Peruntukannya tidak sebanyak Nutrisel asas kerana kita mahu meraikan semua pelajar, dengan kawasan Shah Alam saja merangkumi hampir 125,000 murid.”
Terdahulu, Amirudin dan Fadzil diiringi Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Shahzihan Ahmad mengagihkan pek Program NutriSel kepada 1,321 murid SRAI Seksyen 19, di sini, termasuk 37 murid penerima NutriSel asas.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












