JENAYAH & MAHKAMAH

Wanita maut ditimpa tiang besi di medan selera

KUALA LUMPUR – Hasrat seorang wanita menghalang sebuah kereta yang terbabas ke ruang makan sebuah medan selera di Bandar Mahkota Cheras, Kajang, awal pagi tadi berakhir tragedi apabila dia maut ditimpa tiang besi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.15 pagi itu, mangsa dipercayai berlari ke arah kenderaan berkenaan selepas pemandunya cuba mengalihkan kereta terbabit ke jalan keluar.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, siasatan awal mendapati pemandu lelaki berusia 35 tahun itu dipercayai tersilap menekan pedal minyak sebelum kenderaannya merempuh kawasan makan di medan selera berkenaan.

Menurutnya, pemandu terbabit kemudian membelokkan kenderaan ke arah jalan keluar.

“Ketika itu, mangsa dipercayai berlari ke arah kenderaan terbabit dalam usaha untuk memberhentikannya.

“Bagaimanapun, kereta itu melanggar tiang besi menyebabkan struktur berkenaan tumbang dan terkena kepala mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Naazron berkata, mangsa yang juga warga Malaysia disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas perubatan akibat kecederaan parah di kepala.

Katanya, pemandu terbabit yang turut mengalami kecederaan ditahan dan dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

“Hasil semakan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu atau berbahaya sehingga menyebabkan kematian.

Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dipenjara antara lima hingga 10 tahun, denda maksimum RM50,000 dan hilang kelayakan memegang lesen memandu sekurang-kurangnya lima tahun.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi balai polis berhampiran atau Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohd Raziman Rasid di talian 019-4565502.

Polis turut menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati, mengamalkan pemanduan selamat dan mematuhi peraturan lalu lintas.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button