Komik Nirnama berpotensi tembus pasaran antarabangsa
KUALA LUMPUR – Karya penulis tempatan bertajuk Nirnama berpeluang menembusi pasaran antarabangsa apabila sebuah syarikat di Turkey berminat membawa komik itu ke pasaran global menerusi terjemahan ke beberapa bahasa.
Perkara itu dikongsi pencipta komik tersebut, Hilal Asyraf melalui hantaran di platform Threads.
Beliau menjawab pertanyaan seorang pengguna mengapa komik tempatan sukar menembusi pasaran luar negara.
Menurut Hilal, pihak berkenaan menyatakan hasrat untuk menterjemahkan komik berkenaan ke dalam bahasa Inggeris, Arab dan Turkey sekiranya proses penilaian yang sedang dijalankan berjalan lancar.
“Doakan Nirnama. Ada pihak dari Turkiye sedang berminat untuk membawa komik Nirnama ke peringkat antarabangsa. Katanya nak terjemah ke bahasa Inggeris, Arab dan Turkey.
“Kami sedang menyiapkan bahan-bahan asas yang diminta untuk tujuan penilaian,” katanya.
Perkongsian itu mengundang keterujaan peminat yang berharap karya tempatan berkenaan berjaya menembusi pasaran antarabangsa sekali gus memperkenalkan bakat pengkarya Malaysia kepada khalayak lebih luas.
Untuk rekod, Nirnama merupakan komik yang diadaptasi daripada novel popular karya Hilal Asyraf dengan menggabungkan elemen aksi, pengembaraan dan fantasi.
Karya itu mengisahkan perjalanan seorang pendekar tanpa nama yang mengembara bagi menegakkan keadilan dan menentang kezaliman dalam sebuah dunia fiksyen.
Komik berkenaan diterbitkan menerusi beberapa siri utama termasuk Nirnama: Kelana Pendekar Tanpa Nama, yang memaparkan permulaan pengembaraan watak utamanya, diikuti Nirnama: Hikayat Pendekar Tanpa Nama yang meneruskan kesinambungan kisah tersebut.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |









