PH nafi wujud perpecahan di DUN Chuah dan Sri Tanjung, Ketua Cabang tampil redakan spekulasi – Tok Min
PORT DICKSON – Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan menegaskan isu pemilihan calon di Dewan Undangan Negeri (DUN) Chuah yang hangat diperkatakan di media sosial telah diselesaikan dan tidak menjejaskan kesepaduan parti menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Pengerusi PH Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pelbagai dakwaan serta persepsi negatif yang dimainkan di media sosial berhubung DUN Chuah tidak menggambarkan keadaan sebenar dalam parti.
Menurutnya, Datuk Kenny Chiew yang sebelum ini disebut-sebut sebagai antara individu yang menawarkan diri untuk berkhidmat di kawasan itu telah memberikan sokongan penuh kepada calon PH, Datuk Yeo Boon Lai.
“Kita melihat banyak perkara dimainkan di media sosial dan oleh beberapa individu mengenai apa yang berlaku di Chuah.
“Alhamdulillah, isu ini sebenarnya telah diselesaikan beberapa hari lalu dan Datuk Kenny memberikan sokongan penuh kepada calon-calon PH di Chuah, Lukut, Seri Tanjung, Bagan Pinang dan Linggi,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Aminuddin berkata, Kenny yang juga Timbalan Ketua Cabang KEADILAN Port Dickson telah banyak menyumbang kepada pengukuhan parti di kawasan berkenaan dan komited memastikan kemenangan calon-calon PH.
“Saya ucapkan terima kasih atas semangat beliau yang terus memberikan sokongan bagi memastikan kemenangan lima kerusi DUN yang ditandingi PH di Parlimen Port Dickson,” katanya lagi.
Beliau berkata, dakwaan kononnya berlaku perpecahan dalam DUN Chuah dan kawasan sekitar Parlimen Port Dickson berpunca daripada persepsi yang sengaja dimainkan pihak tertentu sepanjang kempen pilihan raya.
“Ini bukan pertemuan kali pertama, tetapi hari ini kita adakan sidang media untuk menunjukkan kebersamaan kita.
“Kita mahu menutup segala cerita yang menggambarkan seolah-olah wujud perpecahan di Chuah dan sebahagian kawasan Port Dickson,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Aminuddin turut mengingatkan semua pihak supaya berkempen secara beretika dan tidak melakukan perbuatan yang boleh mencemarkan proses demokrasi.
Beliau berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian poster kempen yang dibakar dan dirosakkan sepanjang tempoh berkempen.
“Kita kena berintegriti dalam berkempen dan tunjukkan cara yang baik. Negeri Sembilan ialah negeri yang beradat dan beradab.
“Saya harap semua pihak mematuhi peraturan dan masyarakat dapat menilai sendiri tindakan ahli politik sepanjang kempen ini,” katanya lagi.
Mengenai keyakinan PH untuk mempertahankan kerusi yang ditandingi, Aminuddin berkata, masih terlalu awal untuk membuat sebarang kesimpulan kerana kempen baru memasuki peringkat awal.
“Kita baru mula berkempen dan hanya bertemu sebahagian kecil masyarakat. Masih ada masa untuk semua pihak turun berkempen.
“Menjelang penghujung tempoh kempen nanti, barulah kita dapat melihat gambaran sebenar sokongan rakyat,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |
















