AMANAH Selangor yakin prestasi Aminuddin terus diterima rakyat, kekal terajui Negeri Sembilan
SERDANG – Prestasi pentadbiran Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun disifatkan masih mendapat penerimaan baik rakyat, sekali gus memberi keyakinan bahawa Pakatan Harapan (PH) mampu mempertahankan kerajaan negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah) Selangor, Abbas Azmi, berkata berdasarkan tinjauannya di beberapa kawasan di Negeri Sembilan sejak dua hari lalu, beliau mendapati reputasi Aminuddin atau lebih dikenali sebagai Tok Min kekal positif dalam kalangan masyarakat.
“Saya beranggapan dan optimis Tok Min akan kekal di Negeri Sembilan walaupun dengan pergabungan BN, PN dan sebagainya.
“Setakat ini saya tak dengar ada penolakan rakyat terhadap Tok Min. Saya dah dua hari sebenarnya di Negeri Sembilan, saya ke Paroi, saya ke Lenggeng dan beberapa tempat lagi.
“Saya tak pakai baju parti pun, duduk di kedai mamak dengar orang sembang. Saya mendengar sendiri reputasi Tok Min itu sangat baik.
“Orang Negeri Sembilan ini dah banyak yang kita bantu. Persahabatan negeri yang bagus, servis yang Tok Min dan kerajaan negeri bagi itu saya kira menyebabkan rakyat Negeri Sembilan lebih mesra dengan Tok Min berbanding sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada program tayangan skrin besar perlawanan akhir bola sepak Piala Dunia 2026 peringkat DUN Sri Serdang, awal pagi tadi.
Menurut Abbas yang juga ADUN Seri Serdang, beberapa isu semasa termasuk yang membabitkan institusi di Negeri Sembilan turut dilihat menyumbang kepada sokongan rakyat terhadap PH.
Mengulas dakwaan wujud keretakan dalam Kerajaan Perpaduan yang dikatakan memberi kelebihan kepada pembangkang, beliau berpandangan kerjasama antara PH dan Barisan Nasional (BN) pada peringkat negeri serta Persekutuan masih berada pada landasan yang sama.
Katanya, isu yang timbul bukan membabitkan objektif Kerajaan Perpaduan, sebaliknya berpunca daripada tindakan segelintir pihak yang lebih mengutamakan kepentingan sendiri berbanding kepentingan gabungan itu.
Beliau turut mempersoalkan tindakan menarik sokongan terhadap Aminuddin ketika negeri berdepan krisis politik sehingga membawa kepada pilihan raya.
Abbas berkata, situasi itu membuka ruang kepada pembangkang untuk mengambil kesempatan, namun menegaskan pihak yang mewujudkan ruang berkenaan ialah mereka yang gagal mempertahankan semangat Kerajaan Perpaduan.
Beliau berkata, PH telah menunjukkan komitmen membantu calon rakan gabungan dalam pilihan raya, namun semangat sama perlu diterjemahkan oleh semua parti dalam Kerajaan Perpaduan.
Menurutnya, rakyat akhirnya akan menjadi penentu dalam pilihan raya dan mana-mana parti tidak boleh bergantung kepada kekuatan jentera atau kewangan semata-mata.
Beliau berkata, sejarah membuktikan Barisan Nasional (BN) pernah tumbang ketika berada di puncak kekuatan, manakala PH pula pernah memenangi pilihan raya ketika tidak mempunyai kelebihan dari segi sumber.
“Yang memenangkan adalah rakyat, yang mengalahkan dan menurunkan juga adalah rakyat. Itu yang Barisan Nasional kena faham sebenarnya,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















