KEMENTERIAN KOMUNIKASI

Fahmi ingatkan risiko kesilapan AI paparkan Jalur Gemilang

IPOH – Penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi menghasilkan kandungan berkaitan Jalur Gemilang perlu dilakukan dengan penuh tanggungjawab bagi memastikan simbol kedaulatan negara itu tidak dipaparkan secara tidak tepat.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, semua pihak perlu mengambil perhatian terhadap aspek penting pada Jalur Gemilang, termasuk memastikan bilangan 14 jalur tidak tersilap ketika kandungan dijana menggunakan teknologi berkenaan.

Beliau berkata, kesilapan kecil dalam menghasilkan imej atau kandungan berkaitan bendera kebangsaan tidak boleh dipandang ringan kerana ia membabitkan lambang negara.

“Rakyat perlu mengambil sedikit masa untuk memahami tatacara mengibar Jalur Gemilang yang betul dan juga berhati-hati apabila menjana kandungan menggunakan AI supaya tidak berlaku kesilapan.

“Perkara seperti kekurangan 14 jalur ini sangat penting dan tidak boleh dipandang ringan,” katanya memetik laporan RTM.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2026 di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia Sultan Azlan Shah (ILKKM SAS), di sini hari ini.

Baca juga : Kemerdekaan dibina atas perpaduan, bukan perpecahan – Anwar

Majlis berkenaan dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan turut dihadiri Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Fahmi berkata, tindakan sewajarnya berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada boleh diambil terhadap mana-mana pihak yang menghasilkan kandungan atau mengibarkan Jalur Gemilang secara tidak tepat.

“Langkah pertama ialah menasihatkan dan kita akan cuba berhubung dengan pihak terlibat supaya memperbetulkan kesilapan tersebut.

“Sekiranya tidak diperbetulkan, barulah kita akan teliti tindakan susulan undang-undang,” katanya.

Dalam pada itu, Fahmi berkata, kementeriannya akan bekerjasama dengan Institut Akhbar Malaysia (MPI) dan Majlis Media Malaysia bagi mengadakan perbincangan bersama agensi media berkaitan paparan Jalur Gemilang.

Menurutnya, langkah itu bertujuan memastikan representasi Jalur Gemilang, termasuk yang dihasilkan menerusi teknologi AI, dipaparkan dengan tepat sepanjang sambutan Bulan Kebangsaan.

“Ini bagi memastikan representasi Jalur Gemilang, termasuk yang dijana menggunakan AI, dipaparkan dengan tepat sepanjang Bulan Kebangsaan,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button