
‘Kita tidak mahu lagi dengar biarlah orang lain jadi PM, kali ini pastikan PAS jadi teraju utama di Persekutuan’ – Ketua Pemuda PAS Kedah
KOTA BHARU – Ketua Pemuda PAS Kedah, Ilyas Ahmad menggesa supaya PAS menjadi peneraju utama di peringkat Persekutuan dan tidak lagi memberi laluan kepada parti lain bagi mengisi jawatan Perdana Menteri.
Ilyas berkata, usaha penyatuan umat Islam di peringkat Persekutuan perlu dipimpin PAS kerana parti itu mempunyai calon yang mencukupi serta berkelayakan untuk menerajui Putrajaya.
“Kita tidak mahu lagi dengar kata-kata seperti ‘tak apa, biarlah orang lain jadi Perdana Menteri’. Kita tidak mahu dengar lagi perkara itu!
“Kali ini, kita mahu pastikan PAS menjadi peneraju utama di peringkat Persekutuan,” katanya ketika membahaskan ucapan dasar Ketua Pemuda PAS pada Muktamar PAS di Kota Bharu, hari ini.
Menurutnya, PAS perlu lebih yakin untuk memimpin kerjasama dengan parti politik lain dan tidak sekadar memainkan peranan sebagai rakan dalam gabungan.
Pandangan sama disuarakan perwakilan Pemuda PAS Terengganu, Mukhlis Hasin yang menegaskan PAS perlu menjadi peneraju dalam usaha penyatuan politik.
Beliau berkata, perjuangan mempertahankan identiti dan prinsip parti tidak seharusnya diketepikan hanya kerana mahu mengekalkan perpaduan.
“Jangan sesekali takut untuk mempertahankan identiti kita hanya semata-mata mahu mempertahankan perpaduan.
“Kita tidak sepatutnya takut untuk mempertahankan kebenaran hanya kerana mahu menjaga perpaduan,” katanya.
Mukhlis turut berkata, cabaran utama dalam usaha penyatuan ialah perbezaan keperluan dan alasan dalam kalangan pemimpin parti yang kadangkala menyebabkan usaha berkenaan sukar dilaksanakan.
Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang sebelum ini menyatakan parti itu sudah bersedia menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), termasuk sekiranya pilihan raya berkenaan diadakan lebih awal.
Perkembangan itu berlaku ketika Barisan Nasional menyuarakan hasrat supaya PRU16 diadakan lebih awal bagi mendapatkan mandat baharu daripada rakyat.
Bagaimanapun, setakat ini belum ada pengumuman rasmi mengenai kemungkinan kerjasama antara BN dan PAS bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan datang.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








