BERITA SEMASAHIBURAN

Peruntukan dana RM13 juta untuk penggiat industri seni tanah air

PUTRAJAYA – Sejumlah RM13 juta diperuntukkan kerajaan melalui program Dana Kandungan Kreatif (DKK) Industri Muzik dan Skim Dana Padanan (SDP) dalam usaha menyokong penggiat seni tanah air.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, terdapat tiga kategori peruntukan dana yang ditawarkan oleh Kumpulan MyCreative Ventures (MyCreative) bagi tujuan tersebut.

“Ia merangkumi Dana Persembahan Muzik, Dana Pemasaran dan Promosi Antarabangsa serta Dana Pemasaran dan Promosi Domestik.

“Setakat ini, program DKK Industri Muzik sudah menyalurkan sebanyak RM23 juta kepada 223 penerima, memberikan sokongan berdasarkan merit, kebolehlaksanaan serta potensi kebolehpasaran projek dalam usaha memperkasakan ekosistem muzik negara,” katanya pada sidang media pasca mesyuarat Kabinet di sini, hari ini.

Menurut beliau, permohonan DKK Industri Muzik mula dibuka hari ini dengan permohonan bagi Dana Persembahan Muzik akan ditutup pada 11 Jun depan.

Sementara itu, permohonan bagi Dana Pemasaran dan Promosi Antarabangsa serta Dana Pemasaran dan Promosi Domestik pula dibuka sepanjang tahun ini.

“Untuk SDP pula, MyCreative menawarkan geran padanan satu dengan satu berjumlah sehingga RM250,000 bagi setiap permohonan yang berjaya.

“Antara syarat utama bagi SDP adalah projek kreatif yang dikemukakan mesti dimiliki oleh entiti berdaftar dalam industri kreatif Malaysia dan meliputi bidang seni persembahan, seni visual, kraf, muzik, kandungan kreatif digital serta seni merentas disiplin,” jelasnya.

Info lanjut mengenai permohonan pendaftaran DKK Industri Muzik dan SDP 2025 boleh disemak di laman web www.mycreative.com.my/fundings.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button