SUKAN

Ronaldo sahkan Piala Dunia 2026 pentas terakhir bersama Portugal

ARLINGTON – Bintang bola sepak dunia, Cristiano Ronaldo mengesahkan Piala Dunia 2026 bakal menjadi penampilan terakhirnya bersama skuad kebangsaan Portugal, sekali gus menutup tirai perjalanan gemilangnya di pentas bola sepak antarabangsa.

Pengumuman itu dibuat penyerang berusia 41 tahun berkenaan menjelang aksi pusingan 16 terbaik menentang Sepanyol.

“Ya, ini adalah Piala Dunia terakhir saya. Mari kita turun ke padang dan menikmatinya,” katanya kepada media baru-baru ini.

Ronaldo yang kini beraksi dalam kempen Piala Dunia buat kali keenam sejak membuat penampilan sulung bersama Portugal pada 2003 berkata, faktor usia menjadi antara pertimbangan utama beliau membuat keputusan berkenaan.

Beliau dijangka berusia 45 tahun menjelang edisi Piala Dunia berikutnya, justeru mahu memberikan sepenuh tumpuan untuk memburu kejuaraan dunia pada kejohanan kali ini.

Bagaimanapun, bekas bintang Manchester United dan Real Madrid yang kini menyarung jersi kelab Arab Saudi, Al-Nassr itu masih belum bersedia mengumumkan tarikh persaraan sepenuhnya daripada arena bola sepak profesional.

Mengulas spekulasi mengenai masa depan kariernya, Ronaldo menegaskan keputusan untuk bersara hanya akan dibuat mengikut kehendaknya sendiri.

“Saya akan bersara apabila saya mahu, bukan apabila anda (media) mahu. Sama ada saya bermain atau berada di bangku simpanan, pengaruh saya tetap sama,” katanya.

Pada masa sama, Ronaldo turut menyentuh kritikan yang sering dilemparkan terhadapnya susulan usianya yang kini mencecah 41 tahun.

“Sudah 23 tahun orang cuba ‘menjatuhkan’ saya, tetapi mereka tahu mereka hanya membuang masa. Mereka boleh terus mencuba, tetapi ia tidak berbaloi. Saya sudah biasa dengan perkara itu,” katanya.

Mengakui kemampuan fizikalnya tidak lagi seperti ketika berada di kemuncak prestasi, Ronaldo bagaimanapun percaya beliau masih mampu menyumbang kepada pasukan.

“Saya bukan lagi pemain seperti dahulu, tetapi saya masih mampu menjaringkan gol. Jika saya tidak menjaringkan gol, rakan sepasukan lain akan melakukannya. Misi utama kami adalah untuk mara ke pusingan seterusnya, bukan untuk saya menjaringkan gol peribadi,” katanya.

Sepanjang kempen Piala Dunia 2026, Ronaldo telah meledak tiga gol, termasuk satu menerusi sepakan penalti ketika Portugal menewaskan Croatia pada pusingan 32 terbaik serta dua gol ketika membelasah Uzbekistan 5-0 dalam aksi peringkat kumpulan.

Untuk rekod, Ronaldo merupakan pemegang rekod penampilan terbanyak Portugal dengan 232 kaps selain muncul penjaring terbanyak negara itu menerusi 146 gol. Sepanjang karier antarabangsa, beliau turut membantu Portugal menjulang kejuaraan EURO 2016 dan dua trofi UEFA Nations League.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button