Malaysia pasang impian jadi tuan rumah Piala Dunia
BANGI – Malaysia memasang impian untuk muncul sebagai tuan rumah Piala Dunia pada masa depan, sekali gus menyaksikan skuad kebangsaan layak beraksi di pentas bola sepak paling berprestij dunia itu.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, hasrat tersebut bukan sekadar untuk menganjurkan kejohanan berkenaan, malah beliau mahu melihat Malaysia menjadi antara wakil Asia Tenggara di Piala Dunia.
“Insya-Allah, satu hari nanti kita bercita-cita untuk menjadikan Malaysia tuan rumah Piala Dunia.
“Mudah-mudahan ketika itu pasukan Malaysia akan menjadi satu daripada pasukan untuk mewakili Asia Tenggara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program tayangan skrin gergasi perlawanan akhir Piala Dunia antara Argentina dan Sepanyol yang turut diserikan dengan program Semarak Subuh di Bangi Square 2, di sini, awal pagi tadi.
Dalam perkembangan berkaitan, ranking skuad Harimau Malaya meningkat dua anak tangga ke kedudukan ke-136 dunia berbanding tangga ke-138 sebelum ini berdasarkan kemas kini terbaharu yang dikeluarkan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Terdahulu, ratusan peminat bola sepak membanjiri Bangi Square 2 bagi menyaksikan perlawanan akhir kejohanan berprestij itu yang menemukan juara bertahan, Argentina dengan Sepanyol.
Program tersebut turut dimeriahkan dengan sesi Borak Bola yang menampilkan legenda bola sepak negara, Datuk Zainal Abidin Hassan, Mohd. Farizal Marlias dan Mohamad Zaquan Adha Abdul Radzak, manakala Hafizal Hamad bertindak sebagai pengendali sesi.
Sejurus tamat perlawanan, Ahmad Zahid menyertai program Semarak Subuh di Surau Al-Hamidiah, di sini sebagai penutup acara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















