Indonesia masih membisu tawaran Malaysia bantu padam kebakaran hutan
IPOH – Indonesia masih belum memberikan maklum balas terhadap tawaran Malaysia untuk membantu memadamkan kebakaran hutan di Sumatera dan Kalimantan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, tawaran itu merangkumi penghantaran sebuah pesawat, tiga helikopter dan 55 anggota bagi membantu operasi memadamkan kebakaran di kawasan berkenaan.
Beliau berkata, tawaran tersebut dikemukakan ketika lawatan rasmi beliau ke Jakarta sebelum ini, termasuk pertemuan dengan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto dan Naib Presiden, Gibran Rakabuming Raka.
“Kita menawarkan dengan ikhlas, tetapi tidak ada respons untuk kita membantu mereka. Kita ucapkan terima kasih.
“Dalam hal ini kita bersangka baik yang mungkin mereka tidak memerlukan bantuan kita. Saya katakan saya husnuzon…ya,” katanya selepas hadir pada Majlis Peluncuran Bulan Kesiapsiagaan Nasional 2026 di Pusat Konvensyen Ipoh, di sini hari ini.
Tambahnya, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Kementerian Luar turut mengutus surat kepada rakan sejawat masing-masing di Indonesia berhubung tawaran bantuan berkenaan, namun masih belum menerima sebarang jawapan.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi NADMA bagaimanapun berkata, isu berkenaan tidak seharusnya dilihat sebagai perbalahan antara Malaysia dan Indonesia, sebaliknya perlu ditangani menerusi kerjasama kedua-dua negara.
Ketika diminta mengulas sama ada kerajaan akan mengambil tindakan perundangan berhubung isu jerebu yang disebabkan kebakaran itu, Ahmad Zahid berkata, perkara berkenaan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk diteliti sekiranya perlu.
Beliau bagaimanapun berpandangan, pendekatan penyelarasan dan pencegahan menerusi kerjasama serantau lebih baik berbanding tindakan perundangan.
“Atas semangat ASEAN, koordinasi untuk mengelakkan itu lebih baik,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








