LUAR NEGARA

Ukraine perlukan pemimpin baharu – Trump

WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump menyatakan Ukraine memerlukan “pemimpin baharu”, sehari selepas beliau memeterai perjanjian dengan Vladimir Putin untuk membeli diesel Rusia dalam jumlah yang besar.

Trump memberi bayangan bahawa Volodymyr Zelenskyy tidak berusaha secukupnya untuk menamatkan perang dengan Rusia, sambil menyalahkan Presiden Ukraine itu atas kenaikan harga diesel di AS, lapor The Guardian.

“Saya cadangkan mereka (Ukraine) mendapatkan pemimpin baharu yang boleh memeterai perjanjian.

“Beliau sebenarnya boleh membuat banyak perjanjian tetapi atas sebab tertentu tidak pernah berbuat demikian,” kata Trump.

Trump membuat kenyataan tersebut ketika Rusia melancarkan serangan maut ke atas orang awam di Ukraine yang disifatkan oleh Zelenskyy sebagai “ucapan terima kasih” kepada Trump atas perjanjian diesel berkenaan.

Trump sebelum ini dipetik sebagai berkata, perjanjian pembelian diesel itu perlu diambil bagi mengurangkan harga bahan api tersebut menjelang pilihan raya separuh penggal November ini, di mana kos bahan api menjadi isu utama para pengundi.

Perjanjian itu yang dilihat mengejutkan Kyiv kerana diumumkan sewaktu jururunding Ukraine berada di Miami untuk perundingan damai, disifatkan oleh Zelenskyy sebagai “hadiah” kepada Presiden Rusia.

Beliau menambah, Rusia bakal menggunakan dana hasil jualan bahan api tersebut untuk melabur dalam perang mereka, dan “sebarang kelonggaran sekatan” akan hanya memberi kelebihan kepada Rusia, sekali gus “membolehkan mereka membunuh lebih ramai orang dan memanjangkan tempoh peperangan.”

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button