Kerbau ‘Donald Trump’ jadi tumpuan ramai di Bangladesh
DHAKA – Seekor kerbau albino berwarna merah jambu menjadi perhatian penduduk di Narayanganj, Bangladesh selepas gambarnya tular di media sosial kerana memiliki wajah dan gaya rambut yang dikatakan menyerupai Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
Kerbau seberat hampir 700 kilogram itu dipelihara di Rabeya Agro Farm di kawasan Paikpara dan diberi nama Donald Trump kerana mempunyai bulu keemasan di bahagian kepala yang menyerupai gaya rambut pemimpin berkenaan.
Pemilik ladang, Ziauddin Mridha berkata, nama itu tercetus secara spontan daripada adiknya sebaik melihat rupa haiwan berkenaan buat kali pertama.
Menurutnya, kerbau albino lazimnya bersifat jinak dan tidak agresif selagi tidak diganggu oleh orang ramai.
Haiwan tersebut kini menjadi tarikan pengunjung yang datang ke ladang berkenaan untuk melihat sendiri keunikannya selain mengambil gambar dan video.
Ziauddin berkata, dia membeli kerbau itu di pasar ternakan di Rajshahi kira-kira 10 bulan lalu sebelum ia mula mendapat perhatian di media sosial baru-baru ini.
Katanya, kerbau tersebut telah dijual pada harga 550 taka Bangladesh (RM17.60) sekilogram mengikut berat hidup dan dijangka diserahkan kepada pemilik baharu minggu depan.
Seorang penduduk tempatan dikenali sebagai Russell berkata, dia datang ke ladang itu selepas menonton video kerbau berkenaan di Facebook.
“Ia memang kelihatan seperti Trump. Bentuk muka dan rambutnya sangat mirip,” katanya.
Seorang lagi pengunjung, Mim, berkata dia pada awalnya menyangka perbandingan itu sekadar gurauan pengguna media sosial sebelum melihat sendiri haiwan tersebut.
“Selepas melihatnya secara dekat, saya akui ia memang seakan-akan Trump. Nama itu memang sesuai,” katanya.
Sementara itu, penjaga ladang, Kawser berkata, kerbau berkenaan menerima penjagaan rapi termasuk dimandikan empat kali sehari serta diberi makanan seperti jagung, dedak, hampas minyak, sekam padi dan rumput.
Pihak ladang turut memaklumkan mereka menyediakan kira-kira 200 ekor lembu dan kerbau sempena sambutan Aidiladha tahun ini, dengan hampir kesemuanya sudah ditempah pembeli.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








