BERITA SEMASA

Malaysia belajar dari pengalaman Korea Selatan modenkan lebuh raya pintar

Lawatan ke Korea Expressway Corporation beri inspirasi kepada pembangunan lebuh raya pintar negara

SEOUL – Malaysia bakal mempercepat transformasi sistem lebuh raya negara dengan mengambil inspirasi Korea Selatan menerusi penerapan teknologi canggih oleh Korea Expressway Corporation (KEC), kata Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Menteri Kerja Raya itu berkata, lawatan teknikal ke KEC sempena Forum ITS Asia Pasifik 2025 yang berlangsung di Suwon, Korea Selatan, memberi peluang kepada Malaysia meneliti pelaksanaan sistem lebuh raya pintar berasaskan analitik data besar (big data), kecerdasan buatan (AI) serta infrastruktur pintar.

“Saya amat teruja melihat bagaimana KEC memanfaatkan teknologi secara menyeluruh, bukan sahaja dalam meningkatkan kecekapan operasi lebuh raya dan keselamatan pengguna jalan raya, malah turut menyokong agenda kelestarian alam sekitar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baca juga : Malaysia-Korea rangka MoU tingkat kerjasama infrastruktur dan teknologi pembinaan

Alexander berkata, lawatan itu juga memberi input penting dalam penyediaan hala tuju dan visi Malaysian ITS Roadmap 2030 yang sedang digariskan oleh Kementerian Kerja Raya (KKR).

Jelas beliau, KEC yang bertanggungjawab terhadap pembinaan dan penyelenggaraan lebih 5,000 kilometer lebuh raya di Korea Selatan, turut berkongsi pengalaman dalam pengurusan sistem tol berteknologi tinggi yang telah dilaksanakan sejak 2017.

“Ini memberi pendedahan dan perspektif baharu kepada Malaysia, khususnya ketika kerajaan sedang menetapkan hala tuju baharu sistem pengurusan tol negara,” ujar beliau.

Alexander menambah, Malaysia juga mengalu-alukan peluang kerjasama antara pemain industri tempatan dengan KEC dalam bidang penanda aras prestasi, pembangunan kapasiti dan perkongsian ilmu pengurusan lebuh raya pintar serta teknologi pembinaan digital.

Pada masa yang sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada kepimpinan KEC terutamanya Pengarah Urusan, Lim Chan Soo atas layanan mesra dan perbincangan yang konstruktif sepanjang lawatan berlangsung.

“Malaysia berharap hubungan ini akan terus diperkukuh demi membina rangkaian lebuh raya yang lebih selamat, pintar dan lestari pada masa hadapan,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button