BERITA SEMASA

Malaysia-Korea rangka MoU tingkat kerjasama infrastruktur dan teknologi pembinaan

KUALA LUMPUR – Malaysia dan Korea Selatan sedang merangka satu Memorandum Persefahaman (MoU) baharu bagi memperkukuh kerjasama dalam bidang teknologi jalan raya, pembangunan infrastruktur dan pembinaan pintar.

Menurut Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, MoU itu bakal melibatkan Kementerian Kerja Raya Malaysia (KKR) dan Kementerian Tanah, Infrastruktur dan Pengangkutan Korea (MOLIT).

“Saya berbangga untuk berkongsi bahawa syarikat-syarikat Korea telah dianugerahkan sebanyak 89 projek di Malaysia bernilai RM29.3 bilion dari tahun 2018 hingga Mac 2025,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook milik beliau semalam.

Terdahulu, Malaysia dan Korea Selatan terus memperkukuh kerjasama strategik dalam bidang teknologi jalan raya dan pembinaan menerusi penganjuran Seminar Kerjasama Teknologi Jalan Raya dan Pembinaan Korea-Malaysia yang berlangsung di ibu negara semalam.

Alexander berkata, seminar itu adalah hasil kolaborasi antara Kementerian Kerja Raya Malaysia (KKR), Kedutaan Republik Korea dan Persatuan Kontraktor Antarabangsa Korea (ICAK).

Beliau berkata, seminar itu menandakan pencapaian penting dalam hubungan kedua-dua negara, yang telah menyumbang kepada pembinaan infrastruktur ikonik negara seperti Jambatan Pulau Pinang, Menara Berkembar Petronas, dan Merdeka 118.

Hadir sama dalam seminar yang turut memperingati 65 tahun hubungan diplomatik Malaysia dan Korea Selatan, Duta Besar Korea Selatan ke Malaysia Yeo Seung-bae.

Dalam ucapannya, Alexander menekankan Dasar Pembinaan Negara 2030 (NCP 2030) sebagai pelan strategik negara untuk memodenkan industri pembinaan melalui digitalisasi, kelestarian dan daya saing global.

“Dengan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun ini dan Korea sebagai rakan dialog aktif, seminar ini hadir tepat pada masanya untuk menggalakkan kerjasama serantau yang lebih erat dalam teknologi infrastruktur,” katanya.

Seminar Kerjasama Teknologi Jalan Raya dan Pembinaan Korea-Malaysia telah menghimpunkan lebih 130 peserta termasuk pegawai kerajaan, pemain industri, penyelidik dan wakil agensi kerajaan kedua-dua negara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button