Malaysia dipilih tuan rumah Sekretariat Global AFPPD, perkukuh peranan serantau isu populasi, pembangunan
KUALA LUMPUR – Malaysia dipilih sebagai tuan rumah bagi Sekretariat Global Forum Ahli Parlimen Negara Asia Mengenai Populasi dan Pembangunan (AFPPD) yang merupakan satu pencapaian penting dalam memperkukuh peranan kepimpinan negara dalam isu populasi dan pembangunan di rantau Asia dan Pasifik.
Perkembangan itu diumumkan Presiden AFPPD Malaysia, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi merangkap Menteri Kerja Raya susulan pengiktirafan diberikan kepada AFPPD Global sebagai Rakan Pelaksana oleh United Nations Population Fund (UNFPA).

“Kemenangan ini mencerminkan komitmen kuat Malaysia untuk mempromosikan pembangunan mampan, kesaksamaan jantina, hak kesihatan dan kebajikan rakyat di seluruh Asia dan Pasifik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, status berkenaan diberikan menerusi perjanjian yang ditandatangani pada 12 Mei lalu, sekali gus membolehkan AFPPD Global melaksanakan pelan kerja yang dibiayai UNFPA di bawah Program Global dan Serantau UNFPA 2026–2029.
“Pengiktirafan ini akan memperkukuh peranan AFPPD Global dalam memajukan kerjasama antara ahli parlimen berkaitan isu populasi dan pembangunan di rantau ini.
“Saya merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Yang Berhormat Howard Lee Chuan How, Ahli Parlimen Ipoh Timor yang berkhidmat sebagai Setiausaha Agung AFPPD Global dan Timbalan Presiden AFPPD Malaysia atas kepimpinan beliau dalam memastikan pencapaian penting ini berjaya direalisasikan,” katanya lagi.
Tambah beliau, kedudukan Malaysia sebagai tuan rumah Sekretariat Global AFPPD membuka ruang lebih besar kepada negara untuk berperanan sebagai pusat serantau bagi penglibatan ahli parlimen dalam pelbagai isu strategik.
Antara isu berkenaan termasuk ketahanan demografi, kesihatan reproduktif, kesaksamaan gender, pemerkasaan belia serta pembangunan mampan.
“Pencapaian ini menegaskan peranan Malaysia yang semakin berkembang sebagai rakan dipercayai dalam kerjasama antarabangsa melibatkan ahli parlimen dan agensi berkaitan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
“AFPPD Malaysia berharap dapat terus menyokong AFPPD Global dalam menterjemahkan pengiktirafan ini kepada usaha yang bermakna demi manfaat rakyat Asia dan Pasifik,” katanya.
Sementara itu, laporan Bernama menyebut, pejabat Sekretariat AFPPD akan dipindahkan dari Jepun ke Kuala Lumpur yang berperanan menyokong Ahli Parlimen dalam menangani cabaran berkaitan penduduk dan pembangunan untuk tempoh lima tahun akan datang.
Sekretariat ini akan menyelaraskan program, penyelidikan dan pembangunan kapasiti bagi melengkapkan penggubal undang-undang dengan pengetahuan dan alat dasar yang diperlukan.
Selain Setiausaha Agung dari Malaysia, barisan kepimpinan turut merangkumi seorang pengerusi dari Jepun dan lima naib pengerusi masing-masing dari New Zealand, Kemboja, China, India dan Kyrgyzstan.
Sementara itu, Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dipilih sebagai Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesaksamaan Gender dan Pemerkasaan Wanita untuk tempoh empat tahun.
Pencapaian ini menyerlahkan peranan Malaysia yang semakin berkembang dalam diplomasi Parlimen antarabangsa dan komitmen terhadap sebuah Asia-Pasifik yang lebih adil, inklusif dan berdaya tahan.
Malaysia juga berharap akan bekerjasama dengan semua negara anggota AFPPD dalam memajukan Program Tindakan ICPD dan Matlamat Pembangunan Mampan.
AFPPD yang ditubuhkan pada 1981 adalah rangkaian luas 30 Jawatankuasa Kebangsaan yang terdiri daripada Ahli Parlimen, yang berfokus kepada mempromosikan penglibatan Parlimen dalam menangani isu-isu penduduk di rantau Asia dan Pasifik.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |





















