BERITA SEMASA

Malaysia tekad perkukuh kerjasama serantau bangunkan jalan raya tahan iklim

KUALA LUMPUR – Malaysia menegaskan komitmen untuk memperkukuh kerjasama serantau dalam membangunkan infrastruktur jalan raya yang mampan, selamat dan tahan iklim.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, usaha itu mampu dilaksanakan menerusi perkongsian teknologi serta pembangunan kapasiti antara negara anggota Persatuan Kejuruteraan Jalan Asia dan Australasia (REAAA).

Beliau berkata, pendekatan bersama itu penting bagi menghadapi cabaran global seperti perubahan iklim, peningkatan kos pembinaan dan kemerosotan aset sedia ada.

“Melalui kerjasama dan perkongsian ilmu, kita mampu membina infrastruktur yang bukan sahaja menghubungkan negara, tetapi juga melindungi nyawa dan kehidupan rakyat,” katanya ketika berucap di Sidang REAAA ke-17 2025 di Goyang, Korea, semalam.

Sidang bertemakan ‘Inovasi Infrastruktur Jalan bagi Kemampanan Masa Depan’ itu menghimpunkan lebih 1,000 delegasi dari 30 negara termasuk menteri, pihak berkuasa jalan raya dan pakar industri bagi membincangkan inovasi serta transformasi digital dalam sektor pengangkutan.

Pada masa sama, Alexander berkata, Malaysia komited untuk menerajui pembangunan infrastruktur mampan selaras dengan Dasar Pembinaan Negara (NCP) 2030, Pelan Peralihan Tenaga Nasional dan Pelan Induk Teknologi Hijau.

Menurutnya, penyelenggaraan jalan raya menjadi fokus utama di bawah Teras Keempat NCP 2030 yang menekankan keperluan menambah baik ekosistem penyelenggaraan negara agar lebih berdaya tahan terhadap perubahan iklim.

Beliau berkata, kementeriannya kini melaksanakan pelan transformasi 10 tahun bagi menjadikan sektor penyelenggaraan sebagai industri tersusun dan bernilai tinggi, termasuk merangka Dasar Penyelenggaraan Infrastruktur dan Aset Negara yang dijangka dilancarkan pada 2027.

“Dasar ini akan memperkenalkan rangka kerja menyeluruh untuk penyelenggaraan mampan dan tahan iklim, meliputi penggunaan bahan baharu, sistem saliran lebih baik, perlindungan cerun serta pemantauan berasaskan teknologi,” jelasnya.

Selain itu, beliau berkata, penubuhan Pusat Kecemerlangan Penyelenggaraan Infrastruktur turut dirancang bagi memperkukuh latihan, pensijilan dan penyelidikan dalam bidang tersebut.

Sejak pelancaran aplikasi MYJalan pada Ogos 2023, katanya, sebanyak 42,600 aduan telah diterima dan 96.7 peratus daripadanya diselesaikan, sekali gus menunjukkan kejayaan Malaysia menggalakkan penglibatan rakyat dalam usaha menambah baik sistem jalan raya negara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button