BERITA SEMASADALAM NEGERI

JKR tangani segera kejadian lubang benam di Lebuh SPA – Alexander

MELAKA – Kegagalan struktur pembentung bawah tanah (culvert) dikenal pasti menjadi punca berlakunya kejadian lubang benam besar di laluan fastlane Jalan Persekutuan FT033, Lebuh Sungai Udang–Paya Rumput–Ayer Keroh (SPA) menghala ke UTeM, malam tadi.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, cuaca tidak menentu ketika ini meletakkan kementeriannya serta semua agensi berkaitan dalam keadaan sentiasa berwaspada bagi menghadapi sebarang insiden luar jangka.

Menurutnya, beliau bergegas ke lokasi bersama pasukan kementeriannya dan Jabatan Kerja Raya (JKR) selepas selesai urusan kerja di Genting Highlands, Pahang bagi meninjau keadaan semasa.

“Siasatan awal mendapati sinkhole tersebut dianggarkan berukuran 10 meter panjang dan 5 meter lebar. Punca kejadian dipercayai disebabkan kegagalan struktur culvert yang mengakibatkan mendapan di permukaan jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas beliau, tindakan mitigasi segera dilaksanakan di tapak kejadian bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya, termasuk pemasangan papan tanda amaran, lencongan trafik serta penutupan lorong fastlane sepanjang 300 meter bagi kedua-dua arah.

Selain itu, JKR Daerah Melaka Tengah turut menjalankan pemantauan berterusan khusus di kawasan terlibat.

Bagi pembaikan kekal, katanya, beberapa langkah utama akan dilaksanakan meliputi penggantian culvert konkrit yang rosak, kerja penimbusan dan pemadatan tanah serta pembaikan struktur dan perabot jalan.

“Tempoh pembaikan dijangka mengambil masa dua bulan bergantung kepada keadaan tanah dan cuaca, dengan anggaran kos sekitar RM2.50 juta,” katanya.

Beliau turut mengingatkan orang awam supaya mematuhi semua arahan keselamatan serta papan tanda yang dipasang demi menjaga keselamatan bersama.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button