BERITA SEMASA

Persediaan MTL: JKR 9 negeri terima set ‘Launching Nose’

SHAH ALAM – Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR) hari ini menyerahkan 12 set komponen ‘Launching Nose’ bagi Jambatan Panel Keluli Bermodular (JPKB) kepada JKR di sembilan negeri sebagai persediaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL).

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, perolehan itu dapat menjamin tindak balas yang pantas dan berkesan apabila berlakunya bencana banjir.

“Ini (perolehan) penting kerana ia memudahkan pembinaan jalan modular ataupun yang selalu kita dengar jambatan Bailey atau jambatan keluli.

“Tanpa (kelengkapan) ini, kita memerlukan kren dan sebagainya, tetapi ia memudahkan kecekapan dan kelancaran pelaksanaan pembinaan jambatan keluli ini,” katanya.

Alexander berkata demikian dalam sidang media selepas melancarkan Majlis Penyerahan Aset ‘Launching Nose’ Persediaan Monsun Timur Laut (MTL), di sini hari ini.

Kesemua set komponen dengan nilai perolehan RM21 juta itu diagihkan ke sembilan JKR negeri iaitu Johor, Negeri Sembilan, Melaka, Selangor, Pahang, Perak, Kelantan dan Terengganu.

Sebagai rekod, Launching Nose berfungsi sebagai komponen pemula membolehkan struktur jambatan keluli iaitu Jambatan Bailey ditolak merentasi sungai apabila berlakunya kejadian laluan terputus.

Struktur tersebut bukan sahaja menawarkan penyelesaian yang lebih cepat, efisien, dan kos efektif berbanding kaedah konvensional, malah ia juga dapat memastikan proses pemulihan dan pembinaan semula jambatan dapat dilaksanakan dalam jangka masa yang lebih singkat terutamanya di kawasan yang terputus hubungan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button