BERITA SEMASA

‘Condong ditumpil, lemah dianduh’

KKR gerakkan sukarelawan bantu mangsa banjir Kelantan

PUTRAJAYA – Kementerian Kerja Raya hari ini melancarkan Misi Bantuan Banjir MADANI bagi membantu meringankan beban mangsa di Kelantan.

Menurut menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, para sukarelawan akan mengagihkan bantuan secara berperingkat ke beberapa lokasi, antaranya Kg. Bunohan dan Kampung Baru Nelayan, di Tumpat yang mana lebih kurang 50 penduduk di dua kampung ini tidak dapat dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) dan sedang menumpang di rumah saudara atau jiran.

“Saya bersama-sama pasukan JKR telah melancarkan Misi Bantuan Banjir Madani Kementerian Kerja Raya bersama-sama agensi di perkarangan JKR Wilayah Persekutuan Putrajaya, pagi tadi.

“Inisiatif ini adalah selaras dengan amanat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini yang menyeru supaya semua pihak dan syarikat swasta untuk turut menyalurkan dana atau menyediakan jentera dan tenaga manusia bagi membantu mangsa banjir,” katanya dalam satu hantaran di akaun Facebook miliknya, hari ini.

Alexander turut mengingatkan para sukarelawan misi ini supaya sentiasa menjaga kebersihan dan keselamatan diri sewaktu melaksanakan menjalankan tanggungjawab mereka.

“Ini adalah semangat Kerajaan Malaysia MADANI (yang mana) kebajikan rakyat menjadi keutamaan walau apa pun dugaan yang mendatang,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button