BERITA SEMASA

Nahas UPSI: Pemasangan penghadang jalan ikut standard keselamatan antarabangsa – Alexander

KUALA LUMPUR – Kementerian Kerja Raya (KKR) menafikan dakwaan kononnya kewujudan penghadang jalan di lokasi kemalangan bas di Gerik, Perak menjadi faktor 15 penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terkorban.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi sebaliknya menegaskan penghadang jalan di lokasi tersebut mengikut standard piawaian keselamatan antarabangsa.

Jelas Alexander, sekiranya tiada penghadang dipasang di kawasan berkenaan, impak kemalangan yang berlaku akan menjadi lebih teruk.

“Penghadang jalan itu mengikut standard antarabangsa. Itu yang Malaysia setuju gunakan penghadang besi.

“Kalau tiada penghadang itu akan lebih bahaya. Kalau berlaku kereta yang hilang kawalan, kalau dia terbabas, tiada penghadang, mungkin ia boleh jatuh ke (dalam) gaung, lagi teruk.

“Jadi, kita tak boleh lihat penghadang (jalan) ini sebagai sesuatu yang tidak baik sebab ia terbukti penggunaannya di peringkat antarabangsa,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Baca juga : Permit syarikat bas nahas UPSI dibatalkan serta merta

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media yang turut dihadiri Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke di ibu negara hari ini.

Dalam kejadian awal pagi Isnin lalu, seramai 15 pelajar UPSI disahkan maut apabila bas yang dinaiki mereka terbabas selepas melanggar bahagian belakang sebuah kenderaan pelbagai guna di Jalan Raya Timur-Barat, Gerik.

Terdahulu, terdapat pengguna media sosial yang mendakwa kewujudan penghadang jalan di lokasi kemalangan bas di Gerik itu, menjadi faktor yang mengakibatkan ramai mangsa terkorban.

Sebagai langkah untuk memastikan struktur jalan itu sentiasa diperbaiki, Alexander berkata, kementeriannya sudah meluluskan peruntukan sebanyak RM30 juta untuk membina semula sebahagian laluan di FT04.

Katanya, pada Ogos 2023, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga sudah memberikan peruntukan tambahan sebanyak RM30 juta lagi untuk menaiktaraf laluan Gerik-Jeli.

“Semua kerja siap secara berperingkat antara Julai hingga Ogos 2023 membabitkan kos sebanyak RM55.73 juta berdasarkan tahap kerosakan jalan yang dinilai melalui Pavement Condition Assessment (PCA) di FT04.

“Bagi tahun lalu, peruntukan RM7.2 juta disediakan untuk pelbagai kerja pembaikan di beberapa seksyen lain di laluan ini,” katanya.

Pada tahun ini, RM55 juta lagi disediakan bagi kerja membaik pulih di beberapa lokasi lain termasuk lokasi berlaku kejadian kemalangan itu membabitkan RM1 juta bagi PCA, membaiki perabot jalan (RM14.5 juta); pemasangan lampu jalan (RM3.5 juta) serta kerja-kerja Pavemen, RM36 juta.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button