BERITA SEMASA

Kesilapan ayat al-Quran: Aisyah Hijanah mohon maaf, tarik balik buku ‘Wanita Syurga’

KUALA LUMPUR – Personaliti media sosial dan usahawan, Aisyah Hijanah, mengumumkan penarikan balik buku Wanita Syurga daripada pasaran selepas didapati mengandungi kesilapan penulisan ayat al-Quran.

Menerusi kenyataan yang dimuat naik di Instagram, Aisyah memohon maaf secara terbuka kepada pembaca, para asatizah dan masyarakat atas kesilapan tersebut yang mencetuskan kebimbangan serta kritikan dalam kalangan orang ramai.

Dia mengakui bertanggungjawab sepenuhnya sebagai penerbit dan individu yang membawa nama pada buku berkenaan, walaupun naskhah itu dihasilkan bersama seorang penulis ghostwriter.

“Saya sepatutnya memastikan setiap kandungan, khususnya yang melibatkan ayat-ayat al-Quran, disemak dengan lebih teliti sebelum diterbitkan,” katanya.

Susulan kontroversi itu, Aisyah memaklumkan bahawa semua jualan buku di bawah penerbitannya dihentikan sementara, manakala Wanita Syurga telah ditarik balik daripada semua kedai serta platform jualan dalam talian dan fizikal.

Menurutnya, kandungan buku berkenaan akan melalui proses semakan menyeluruh sebelum versi baharu yang telah diperbetulkan diterbitkan dalam bentuk digital.

Dia turut menyifatkan insiden itu sebagai satu teguran untuk lebih berhati-hati dan bertanggungjawab, khususnya dalam penerbitan bahan yang melibatkan kandungan agama.

Sebelum ini, pengguna media sosial membangkitkan isu kesilapan penulisan ayat al-Quran dalam buku tersebut dan menggesa ia ditarik balik daripada pasaran.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button