AGAMABERITA SEMASA

150 pelajar tahfiz diraikan dalam majlis Haflaj Takrimiah AKMAL 2025

BANGI – Pengorbanan, disiplin dan ketekunan dalam menghafaz al-Quran akhirnya terbalas apabila seramai 150 pelajar huffaz diraikan dalam Majlis Haflah Takrimiah AKMAL Kali Ke-6.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Majlis anjuran Akademi Al-Quran Amalillah (AKMAL), Ustaz Ahmad Faiz, pihaknya komited untuk terus melahirkan generasi pewaris kalamullah yang bukan sahaja mahir hafazan, tetapi juga memiliki akhlak dan daya kepimpinan unggul.

“Kami melihat potensi besar dalam generasi muda hari ini. Dengan bimbingan yang betul, disiplin dan sokongan padu ibu bapa, insya-Allah lebih ramai anak-anak kita mampu menjadi Huffaz yang berkualiti,” katanya.

Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri (kiri) menghadiri Majlis Haflah Takrimiah AKMAL Kali Ke-6 di Bangi Avenue Convention Centre (BACC).

Terdahulu, Majlis Haflah Takrimiah AKMAL itu disempurnakan oleh Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri, mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Majlis berprestij itu menjadi simbol kejayaan program “Hafiz Setahun” anjuran AKMAL apabila rata-rata pelajarnya berjaya mengkhatamkan 30 juzuk al-Quran dalam tempoh kurang setahun.

Turut hadir memeriahkan majlis yang berlangsung baru-baru ini di Bangi Avenue Convention Centre (BACC), ialah ibu bapa, para guru, alumni serta rakan strategik pendidikan Al-Quran dari seluruh negara.

Lebih mengagumkan, seorang pelajar istimewa yang dikenali sebagai Ziyad, 10, menghidap mild autisme, berjaya menghafal 30 juzuk dalam hanya empat bulan enam hari.

Pelajar terbabit dikatakan memiliki daya ingatan menakjubkan apabila mampu menghafal 42 surah sebelum menyertai AKMAL.

Turut diraikan, Muhamad Aiman, 16, yang berjaya menerima sijil Syahadah Hafazan kurang daripada setahun, serta anak kepada anggota kumpulan nasyid popular tanah air, Syah Inteam, yang turut menamatkan hafazan.

Kejayaan ini sekali gus membuktikan keberkesanan modul pembelajaran unik AKMAL yang dikenali sebagai “6 Rukun Hafiz”, digabungkan dengan motivasi harian, pemantauan konsisten dan penekanan terhadap akhlak mulia.

AKMAL kini merancang untuk menubuhkan pusat pengajian tinggi sendiri, sebagai kesinambungan laluan akademik buat para Huffaz.

Bagi merealisasikan usaha ini, satu memorandum persefahaman (MoU) telah dimeterai bersama Markfield Institute of Higher Education (MIHE), United Kingdom, membuka laluan kepada pengiktirafan antarabangsa bagi pelajar AKMAL.

AKMAL turut mengajak lebih ramai pihak berkolaborasi bersama agar misi AKMAL melahirkan 10 ribu huffaz setiap tahun menjelang 2030 tercapai.

Ibu bapa yang berminat untuk mendapatkan maklumat lanjut atau mendaftarkan anak ke program Hafiz Setahun AKMAL boleh melayari laman sesawang rasmi di www.hafizsetahun.com

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button