ToyyibPay, Yayasan Restu meterai MoA strategik perkasa inisiatif wakaf satu juta al-Quran
Kerjasama infrastruktur digital untuk penyediaan satu juta naskhah wakaf al-Quran ke seluruh dunia
PUTRAJAYA – ToyyibPay Sdn. Bhd. dan Yayasan Restu memeterai Perjanjian Usaha Sama (MoA) bagi membangunkan portal wakaf digital pertama yang menekankan keselamatan dan ketelusan, khusus bagi memperluas inisiatif waqf Al-Quran di peringkat global.
Pengerusi ToyyibPay Sdn. Bhd., Datuk Dr. Mazlan Ahmad berkata, Projek Satu Juta Al-Quran tercetus susulan insiden pembakaran Al-Quran di Sweden, yang mendorong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2023 membuat ikrar bersejarah untuk menghantar satu juta naskhah Al-Quran bagi setiap Al-Quran yang dibakar.
“Usaha sama ini mencerminkan komitmen strategik untuk meningkatkan ketelusan, capaian dan impak penyediaan waqf Al-Quran. Platform ini akan menekankan aspek patuh shariah, keselamatan serta kemudahan kepada pewakaf di seluruh dunia,” katanya.
Terdahulu, MoA berkenaan ditandatangani oleh Dr. Mazlan Ahmad, dan Pengerusi Eksekutif Yayasan Restu, Datuk Abdul Latiff Mirasa, dalam satu majlis di Kompleks Nasyrul Quran, Putrajaya, semalam.
Langkah strategik tersebut sekali gus mengukuhkan peranan Malaysia sebagai peneraju dalam pengedaran dan pemerkasaan Al-Quran melalui teknologi moden, di samping memperhebat sumbangan negara dalam platform waqf digital antarabangsa.
Menerusi kerjasama itu, ToyyibPay akan menggabungkan infrastruktur pembayaran digital patuh shariah dengan kepakaran Yayasan Restu dalam percetakan, penjagaan serta pengedaran Al-Quran di seluruh dunia.
Matlamat utamanya ialah memperluaskan Program Waqf Al-Quran Global dengan komitmen menyediakan satu juta naskhah Al-Quran kepada komuniti memerlukan dalam fasa seterusnya.
Sementara itu, Abdul Latiff berkata, MoA tersebut membawa amanah besar agar mesej Al-Quran dapat disampaikan dengan lebih meluas, bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di peringkat antarabangsa.
Beliau berkata, Yayasan Restu telah menggalas tanggungjawab memperkasa pendidikan dan pengedaran Al-Quran selama lebih 30 tahun, dan kerjasama dengan ToyyibPay bakal meneruskan momentum itu menerusi platform digital yang lebih mudah, dipercayai serta inklusif.
“Dengan rangkaian lebih 200,000 peniaga serta lebih 5,000 masjid dan institusi Islam, ToyyibPay berada pada kedudukan kukuh untuk menerajui gerbang pembayaran patuh shariah dan memperluas pasaran pewakaf digital ke Asia, Timur Tengah, Afrika, Eropah dan Amerika,” katanya.
Untuk rekod, sejak 2023, Yayasan Restu telah mengedarkan terjemahan Al-Quran dalam 30 bahasa ke lebih 20 negara termasuk Amerika Syarikat, Afrika Selatan, India dan Nigeria.
Justeru, kerjasama baharu itu mengukuhkan operasi yayasan melalui integrasi digital, peningkatan ketelusan serta jaminan akauntabiliti hingga setiap naskhah sampai kepada penerima tepat pada masanya.
Kompleks Nasyrul Quran yang menjadi lokasi majlis merupakan antara pusat percetakan dan seni khat Al-Quran terkemuka dunia, dan kerjasama ini membuka laluan untuk memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai peneraju serantau dalam teknologi kewangan Islam dan tadbir urus waqf digital.
Dalam majlis sama, ToyyibPay turut memeterai tiga lagi MoU bersama Namirial bagi modul keselamatan digital eKYC, Kirarafics bagi perkhidmatan wasiat digital, dan Masjid Pro bagi aplikasi mudah alih pengurusan masjid.
Dalam pada itu, Dr. Mazlan turut menzahirkan penghargaan kepada semua pasukan terlibat atas profesionalisme yang ditunjukkan dan berharap kerjasama tersebut akan terus memberi manfaat kepada umat Islam dengan penuh keikhlasan dan integriti.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








