Gema Al-Quran ubah wajah malam Bukit Bintang
KUALA LUMPUR – Suasana malam di Bukit Bintang yang biasanya riuh dengan muzik bertukar menjadi medan ketenangan apabila alunan suci Al-Quran bergema di tengah-tengah pusat hiburan terkenal itu, baru-baru ini.
Keunikan suasana itu tercetus daripada penganjuran program ‘Gema Al-Quran di Bukit Bintang’ yang dianjurkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di lokasi berkenaan.

Program itu menyaksikan penyertaan qari dan personaliti terkenal yang memperdengarkan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran disulami dengan pelbagai lagi pengisian rohani yang menyentuh sanubari.
“Bukit Bintang malam ini bukan lagi sekadar medan hiburan, tetapi taman cahaya yang menyinari hati,” demikian antara mesej yang dikongsi pihak JAKIM dalam satu hantaran di Facebook semalam.
Setiap alunan bukan sahaja mengisi ruang udara dengan keindahan suara malah menyentuh hati pendengar dengan mesej dan pengajaran yang mendalam.
Malam tersebut turut diserikan dengan kata-kata penuh hikmah yang mengiringi bacaan, seakan seruan halus yang menyedarkan jiwa yang lalai dan membangkitkan rasa rindu kepada Tuhan Yang Maha Esa.

Lebih membanggakan, kehadiran ramai anak muda yang bukan sekadar menjadi penonton tetapi turut bersama menuturkan kalam suci menjadi bukti bahawa kecintaan terhadap Al-Quran masih subur dalam kalangan generasi baru di ibu kota.
“Kehadiran warga kota pada program ini menunjukkan sokongan mereka sebagai tanda harapan bahawa suara Al-Quran akan terus bergema bukan sahaja di pentas dan majlis, tetapi di dalam hati seluruh umat Islam,” kata kenyataan JAKIM itu lagi.
Inisiatif tersebut adalah sebahagian daripada Pelan Transformasi Al-Falah yang digerakkan menerusi gagasan Malaysia MADANI, sebagai usaha memperkasa syiar Islam dalam masyarakat Malaysia yang majmuk dan moden.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








